Jumaat, 1 Mei 2009

kesan IT terhadap psikologi kanak-kanak

Pada hari ini kita melihat perkembangan teknologi di era ini terlalu pesat. Hal ini sedikit sebanyak turut melibatkan individu kecil iaitu kanak-kanak. Perkembangan teknologi yang boleh penulis istilahkan disini adalah meliputi teknologi seperti penggunaan internet, komputer, televisyen, telefon bimbit dan sebagainya. Boleh dikatakan sekarang ini ramai kanak-kanak sudah diajar untuk menggunakan internet. Malah penulis turut mengandaikan dalam setiap rumah internet bukan lagi suatu benda yang asing lagi.
Telefon bimbit juga pada hari ini bukan lagi seperti zaman awal-awal kemunculannya dimana sesiapa yang memilikinya dikira sebagai golongan yang kaya dan ternama. Namun pada hari ini kita boleh melihat di sekelilingi kita semua golongan mampu untuk menggunakan kemudahan demikian. Malah, penulis juga tidak terkejut jika dikhabarkan bahawa kanak-kanak yang berumur tiga, empat tahun tahu dan turut memiliki telefon bimbit sendiri. Hal demikian disebabkan faktor pengaruh dan faktor setiap orang berkuasa untuk memilikinya dan menggunakannya.
Namun penggunaan teknologi yang meluas terhadap kanak-kanak ini turut mendatangkan banyak implikasinya antaranya baik dan buruk. Implikasi yang wujud ini boleh menimbulkan banyak kesan-kesan lain yang akhirnya boleh memberi keuntungan bagi yang menggunakan dengan cara yang betul. Manakala bagi yang salah penggunaanya maka mereka akan memperolehi bahaya terhadap fizikal dan mental kanak-kanak. Di sini penulis membawakan dua implikasi yang timbul hasil dari penggunaan IT. Antaranya kesan positif dan negatif.

KESAN POSITIF

Berita Harian Online memetik kata- kata seorang Prof daripada UM yang membicarakan mengenai televisyen mampu pengaruhi minda yang mana Prof Chiam telah menyatakan bahawa kanak-kanak dan remaja menonton televisyen kerana mereka bosan memandangkan tidak ada pilihan lain yang menarik selain televisyen. Kesibukkan Ibu bapa yang tidak mempunyai waktu untuk mereka malah faktor bentuk hiburan lain yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi juga mendorong kanak- kanak ini memilih untuk menonton televisyen. Bagaimanapun, menurutnya lagi televisyen juga boleh menjadi satu alat berkesan dan berpengaruh untuk membentuk seseorang individu menjadi warga yang baik, mempunyai kesedaran sivik dan berperikemanusiaan. Tambahnya lagi sikap menyalahkan televisyen yang menjadi faktor penyebab keruntuhan akhlak dan sebagainya adalah tidak adil kerana televisyen hanya sekadar mengambil alih tugas ibu bapa yang sibuk untuk mendidik dan membimbing anak mereka dan kegagalan ibu bapa memainkan fungsi itu adalah faktor utama ke arah keruntuhan moral.
Chiam juga turut menegaskan bahawa televisyen bagaimanapun bukanlah faktor tunggal ke arah keruntuhan moral kerana persekitaran dan keadaan turut menyumbang kepada gejala negatif. Dalam kenyataannya juga beliau berpendapat satu cara untuk menangani masalah keruntuhan moral ialah setiap individu dan sektor perlu memainkan fungsi masing-masing dalam memikul tanggungjawab sosial. Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Jaafar Kamin juga tidak bersetuju bahawa rancangan televisyen membawa kesan yang negatif kerana beliau merasakan rancangan RTM yang menyelitkan pelbagai kisah membawa fungsi 4M iaitu memberitahu, mendidik, membujuk dan menghibur selain mendapatkan keuntungan bagi stesen komersil. Tambahnya lagi, hal ini bertepatan kerana RTM memaparkan mesej berkaitan isu moral dalam rancangan itu selain menerusi rancangan agama.
Antara isu moral dan agama yang dibincangkan ialah melalui siri seperti Kes Juvana, Bicara Hati, Ehwal Islam dan Forum Perdana Islam yang menerapkan nilai positif untuk dijadikan iktibar. Malah, rancangan Minda dan Global pula membicarakan topik yang membuka minda rakyat sementara rancangan import seperti Chicago Hope, ER dan Oprah Winfrey, walaupun tidak melambangkan budaya kita, turut mengandungi mesej positif sejagat.
Dalam artikel televisyen mampu pengaruhi minda juga menyelitkan kenyataan seorang Profesor dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Prof Ramli Mohamed yang berpendapat televisyen sememangnya mampu mengolah cita rasa penonton, tetapi bukan semua penonton boleh terpengaruh. Malah melalui menonton ini juga dapat menguji tahap kawalan seseorang terhadap emosinya sama ada ia mampu atau tidak. Hal ini disebabkan mereka bukan saja memiliki pemikiran tersendiri malah mekanisme untuk mempertahankan diri daripada dipengaruhi media. Beliau menyifatkan penonton juga lebih matang daripada segi pendedahan dan tanggapan menyebabkan mereka dapat membezakan yang mana berkualiti dan sebaliknya.
Selain itu, IT juga mempercepatkan seseorang pelajar untuk menguasai sesuatu pembelajaran. Ghazali Othman mengemukakan mengenai kajian yang telah dijalankan oleh Wan Roslina, Fazilawati dan Ismail bagi melaporkan mengenai kajian perbandingan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P & P) dengan berbantuan komputer (PBK) dengan P & P secara tradisional untuk salah satu topik Kimia Tingkatan 4, iaitu konsep Mol. Kajian ini telah dijalankan ke atas 26 orang pelajar yang mendapat markah yang rendah dalam ujian konsep Mol. Dua kumpulan telah dibentuk dan setiap kumpulan hanya didedahkan dengan satu teknik P & P. Data-data yang diperloehi telah dianalisis dengan menggunakan ujian-t sampel bebas. Keputusan yang diperoleh menunjukkan terdapat perbezaan skor min yang signifikan antara kedua-dua kumpulan yang dikaji dimana pembelajaran melalui P & P dengan berbantuan komputer.

KESAN NEGATIF

IT merupakan satu teknologi yang canggih yang telah dicipta pada hari ini, malah tidak dapat disangkal lagi bahawa setiap isi rumah hari ini sudah terbuka dan maju dengan mempunyai barangan- barangan seperti televisyen, komputer persendirian, internet malah mampu juga memiliki telefon bimbit sendiri. Di bawah penulis akan membawakan implikasi negatif tentang bahayanya IT ini terutamanya terhadap emosi kanak-kanak jika IT ini disalah guna.
Melalui kajian yang telah dilakukan oleh Pegawai di Persatuan Pengguna Pulau Pinang dalam buku keluaran CAP iaitu kesan televisyen terhadap perkembangan anak-anak anda menyatakan bahawa menonton televisyen boleh menjadikan kanak-kanak kurang cerdik kerana televisyen mampu membunuh IQ, membekukan otak, menyekat kreativiti, menghalang dari berfikir secara mendalam, mencuri masa, menganggu tidur, merampas waktu bermain dan banyak keburukan lagi. Malah dalam beberapa kajian yang lain mendapati menonton lebih berbahaya dan berpotensi merosakkan otak kanak-kanak yang sedang membesar.
Siti Fatimah membawakan mengenai iklan jenama minuman antarabangsa yang mengetengahkan tiga diva terkenal dengan berpakaian dan aksi yang menjolok mata yang telah dihentikan disebabkan Iklan tersebut dan iklan-iklan lain seumpamanya adalah sebahagian daripada kesan media global terhadap masyarakat. Tanggapan syarikat yang mengiklankan barangan tersebut bahawa iklan yang menonjolkan budaya tertentu sesuai untuk ditonton oleh seluruh dunia. Hal ini amat tidak brtepatan dengan budaya timur yang nyata sekali amat bertentangan sama sekali.
Dalam buku yang dikeluarkan oleh CAP juga mengemukakan mengenai satu kajian di sebuah Universiti Chicago yang di laporkan dalam journal of Comparative Neurology, tiga tahun pertama kehidupan kanak-kanak merupakan waktu penting bagi perkembangan otak kerana ketika inilah pelbagai bahagian otak menjalani proses "pendawaian". Pendawaian otak ini merujuk kepada perkembangan hubungan antara pelbagai sinaps sel otak selepas lahir. Sinaps adalah talian telefon yang membolehkan sel otak berkomunikasi. Trillion terbentuk sewaktu usia dua tahun pertama dan dipercayai dihasilkan dengan berlebihan untuk menjamin kadarnya bagi mencukupi dalam membentuk rangkaian saraf bagi penglihatan, pertuturan, pemikiran, emosi dan kemampuan mental lain. Ketika usia ini kanak-kanak tidak sesuai didedahkan dengan televisyen kerana mereka masih mentah dalam aktiviti untuk mengawal emosi sendiri.
Noor Azam menyatakan Arab Saudi mengharamkan permainan video dan kad Pokemon kerana ia dikatakan mempunyai unsur Yahudi iaitu bintang enam segi, yang dapat kita kaitkan dengan lambang Israel. Apa yang diharamkan ialah permainan Pokemon dan bukan rancangan animasinya. Rancangan televisyen dan filem Pokemon itu hanya iklan - yang hendak dijual sebenarnya ialah barang sampingan termasuk permainan video dan kad yang diharamkan oleh Arab Saudi itu. Lama sebelum kebimbangan tentang Pokemon ini, masyarakat Islam pernah juga `takut' kepada anak patung Barbie yang dikatakan memberi pandangan hidup negatif kepada kanak-kanak. Lama selepas kanak-kanak ini dewasa, kajian psikologi menunjukkan mereka masih mahu menjadi seperti Barbie dan mencari kekasih seperti Ken. Pengaruh yang uat untuk menjadi seperti patung barbie, pokemon dan sebagainya yng mereka minati akhirnya akan menjejaskan tumbesaran kanak- kanak terbabit.
Selain mendatangkan kesan terhadap perkembangan otak televisyen juga boleh menjejaskan dan melambatkan pertuturan. Sebagaimana kajian yang telah dilakukan oleh Dr Sally Ward selama 10 tahun ke atas bayi dan kanak-kanak. Beliau menyatakan televisyen menjadi faktor yang penting dalam melambatkan perkembangan pertuturan dalam seseorang daripada lima orang yang didapati mengalami masalah ini. Kajian itu mendapati bunyi bising dari televisyen boleh mempengaruhi emosi kanak-kanak dengan menghalang kanak-kanak daripada belajar bertutur seawal yang sepatutnya. Malah, mereka lebih gemar mendengar rancangan televisen itu besuara daripada diri sendiri.
Dalam buku keluaran CAP juga turut menjelaskan lagi bahawa salah satu elemen berfikir yang penting ialah mengekstrapolasi apa yang diketahui dan cuba memikirkan bagaimana untuk menyesuaikannya dalam situasi baru. Hal demikian hanyalah diperlukan di sekolah tetapi bukan untuk televisyen. Kanak-kanak yang aktif akan menjadi tidak aktif ketika menonton televisyen kerana itulah yang dilakukan oleh medium tersebut. Ketika menonton kanak-kanak tidak dibenarkan berfikir. Hal demikian akan mendorong kanak-kanak untuk tidak mahu berfikir dan tidak mahu belajar akhirnya mereka akan gagal dalam hidup.
Kate Moody turut menjelaskan bahawa televisyen merupakan penghalang di dalam bukunya Growing Up On Television. Beliau menyatakan bahawa gambar yang tertera di kaca televisyen bertukar lima atau enam saat, sama ada dengan mengubah sudut kamera atau memaparkan babak baru. Keadaan demikian menurut beberapa penyelidik merupakan satu kejutan perminit dan apabila masa semakin singkat otak boleh berubah sehingga menjejaskan pendapat yang berterusan.
Selain kesan-kesan negatif yang disebutkan televisyen turut menjadikan kanak-kanak kurang kreatif, gagal memberi tumpuan dan tidur terganggu, . Hal demikian disebabkan televisyen memperuntukkan terlalu sedikit ruang untuk kanak-kanak berfikir sekaligus membantutkan daya pemikiran kanak-kanak. Malah, kanak-kanak yang gemar menonton televisyen menghadapi sedikit masalah dalam pembelajaran dan menghadapi kesukaran untuk mendengar dan memberi tumpuan dalam tempoh yang lama berbanding rakan mereka yang tidak menonton televisyen.Tempoh kurang tumpuan itu disebabkan rentak program televisyen yang menetapkan seseorang kanak-kanak akan melihat satu imej selama tiga saat, satu imej lagi selama tujuh saat manakala satu imej lagi selama lima saat dan begitulah seterusnya.
Pertukaran imej yang berlaku ini akan merangsang kanak-kanak menjadi seperti yang demikian. Emosi kanak-kanak yang terganggu juga turut akan mengganggu tidur kanak-kanak. Sebagaimana kajian yang telah dilakukan di klinik Pediatrik mendapati kanak-kanak yang suka menonton televisyen lebih cenderung enggan masuk tidur, sukar untuk melelapkan mata ataupun mereka lebih kerap terjaga. Kurang tidur kanak-kanak boleh mendatangkan kesan yang buruk terhadap pemikiran dan emosi kanak-kanak seperti sukar untuk memberi tumpuan dan fikiran sentiasa serabut. Malah, mereka juga terdedah untuk ponteng dan tidak bersemangat untuk belajar.
Rentak televisyen yang berbentuk kegila-gilaan di samping dengan bunyi dan imej yang saling bertukar boleh menjejaskan sistem saraf sesetengah kanak-kanak sehingga menyebabkan Gangguan Hiperaktiviti Kurang Tumpuan (ADHD) yang sebelum ini dikenali sebagai Gangguan Kurang Tumpuan(ADD) yang diperhatikan melalui kurang memberi tumpuan yang berterusan, hiperaktiviti dan tingkahlaku yang impulsive atau gabungan tiga perlakuan ini. Terdapat kajian yang mencukupi untuk menyarankan tindakan melarang kanak-kanak di bawah usia lima tahun daripada menonton terlalu banyak rancangan televisyen boleh mengurangkan peluangnya mengembangkan ADD.
Menurut Healy dalam buku keluaran CAP kanak-kanak yang terlalu banyak menonton televisyen boleh menurunkan prestasi akademik terutamanya dalam keupayaan membaca. Membaca memerlukan kedalaman atau pemerosesan tetapi 'fikiran dua minit' kanak-kanak daripada menonton terlalu banyak televisyen dengan mudah menjadikannya kurang sabar dengan kegiatan yang memerlukan pembacaan. Menonton televisyen adalah komunikasi sehala di mana kanak-kanak akan menjadi pasif dan tidak dibenarkan berfikir dan boleh membekukan otak.
Sebagaimana yang dikatakan juga oleh Dr Jerre Levy, Bio-Psikologis di Universiti Chicago dan pakar dalam perkembangan Hemisfera otak menyatakan apabila kanak-kanak menonton televisyen, mereka tidak akan memperuntukkan masa membaca. Apabila seseorang kanak-kanak membaca novel, dia harus mewujudkan sendiri seluruh scenario, dia harus mewujudkan imej mengenai siapakah orang tersebut, bagaimana emosinya dan apakah nada suaranya, bagaimanakah kelihatan persekitannya, apakah perasaan mereka mengenai persekitaran tersebut. Senario yang dicipta sendiri adalah penting dan televisyen tidak akan meninggalkan ruang untuk proses kreatif berlaku. Otak di reka bagi memenuhi cabaran-cabaran kognitif. Di mana tidak seperti otot: jika anda tidak membuat latihan otot akan lemah. Jika tidak melatih otak anda, otak juga akan lemah."
Kesan lain yang turut timbul akibat daripada kerap menonton televiyen adalah melemahkan kemahiran berbahasa. Menurut Healy, ciri visual televisyen menyekat perkembangan bahagian sebelah kiri otak yang penting untuk kemahiran pembelajaran bahasa. Dalam satu persidangan terapis percakapan di London mendedahkan bahawa televisyen membataskan dan menghadkan keupayaan kanak-kanak bertutur dan memahami Bahasa Inggeris. Kemahiran bahasa boleh dirangsang dengan baik melalui pembacaan dan penyertaan dua hala yang aktif dalam perbualan dan aktiviti bermain bukannya dengan menonton televisyen. Hal ini, telah dipersetujui oleh seorang pakar terapi dengan menyatakan "seorang daripada lima kanak-kanak di bawah umur lima tahun menderita masalah bahasa kerana kebanyakkan ibu bapa menggunakan televisyen sebagai pengasuh kanak-kanak."
Selain itu, kanak-kanak yang kerap menonton televisyen seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat pada tahun 1994 menyatakan bahawa kanak-kanak ini tidak cekap dalam menghitung dalam matematik. Kajian lain mendapati pelajar gred 6 dan 12 di California yang banyak menonton televisyen mendapat markah yang rendah dalam ujian pencapaian matematik (serta membaca dan menulis) berbanding dengan pelajar yang kurang menonton atau tidak mempunyai televisyen. Kesan negatif lain melalui menonton televisyen ini juga boleh melemahkan daya berfikir kerana menonton televisyen secara berlebihan juga boleh membawa kepada banyak masalah lain seperti fizikal, psikologi dan sosial.
Sebagaimana kenyatan yang di buat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang terdapat beberapa bantahan mengenai televisyen. Antaranya pendorong hiperaktiviti kerana terdapat bukti-bukti yang semakin ketara bahawa pergerakkan pantas imej dan bunyi dari televisyen merupakan punca utama berlakunya hiperaktiviti. Tenaga fizikal yang diwujudkan oleh imej tetapi tidak digunakan, disimpan dalam badan kanak-kanak. Oleh itu apabila televisyen ditutup tenaga yang tersimpan itu akan muncul melalui aktiviti yang terlampau aktif. Sebagaimana yang telah dikemukakan oleh Jerry Mander dalam bukunya Four Arguments for Elimination of Television "saya melihat berulang kali ia berlaku ke atas kanak-kanak. Mereka duduk diam semasa menonton. Kemudian mereka bertukar menjadi terlampau aktif, cepat marah atau meragam dan kelihatan kecewa".
Malah kanak- kanak ini lebih pasif apabila berbaring di atas katil kerana purata metabolisme badan adalah 14.5% lebih rendah apabila menonton televisyen daripada berbaring di atas tempat tidur sepertimana kajian yang telah dikeluarkan oleh Universiti Negeri Memphis. Dr George Gerbner Dekan Sekolah Komunikasi Annenburg di Amerika menyatakan "Hidup dengan televisyen bermakna membesar dalam dunia kira-kira 22,000 iklan komersial setahun, di mana 5,000 daripadanya untuk produk makanan, lebih separuh daripadanya adalah untuk gula-gula dan snek berkhasiat rendah".
Televisyen juga boleh mewujudkan hubungan yang buruk diantara kanak-kanak dan anggota keluarga terutamanya ibu bapa. Kanak-kanak yang menghabiskan banyak masa di depan televisyen menyebabkan mereka kekurangan untuk bersama keluarga serta berinteraksi sesama mereka. Malah mereka juga tidak pandai bergaul dalam masyarakat disebabkan mereka tidak bergaul dengan rakan sebaya yang lain. Kajian yang dimuatkan juga dalam buku CAP ini juga mendapati kanak-kanak yang kurang menonton televisyen lebih cenderung untuk aktif dan minat serta terlibat dalam banyak kegiatan lain seperti bersukan dan berkawan dengan kanak-kanak yang lain. Kajian juga mendapati kanak-kanak yang kerap menghabiskan masa di depan televisyen menjadi kurang sabar, kurang selesa dan kurang berupaya menghargai konsep kepuasan yang lambat dinikmati.
Mengikut satu hipotesis, jika seorang kanak-kanak yang belum bersekolah menonton televisyen tiga jam sehari apabila menjangkau usia 18 tahun ia akan menghabiskan banyak masa untuk menonton televisyen berbanding masa yang dihabiskan di sekolah. Malah kanak-kanak akan lebih mementingkan televisyen daripada anggota keluarga, kawan-kawan dan sebagainya. Pengaruh emosi yang kuat mendorongnya untuk menonton televisyen lebih daripada aktiviti lain.
Selain kesan- kesan yang dijelaskan di atas penulis juga akan membawakan kesan negatif yang lain yang turut lahir daripada sikap yang demikian terutamanya terhadap kesihatan mental, hubungan sesama insan, dari sudut perubahan sosial dan lain- lain. Chiam menyatakan sikap-sikap negatif seperti salah laku, rogol, buli, serangan, pelacuran remaja dan peras ugut adalah antara sikap yang dipelajari daripada televisyen. Malah beliau menambah lagi bahawa siri-siri seperti detektif, peguam dan orang tahanan yang lari dari penjara, meninggalkan kesan ke atas remaja dan kanak-kanak, khususnya kepada mereka yang mengalami masalah psikologi. Menurutnya lagi, kini didapati ramai penduduk negara ini khususnya di Lembah Klang yang memiliki lebih daripada dua peti televisyen di rumah mereka dan ini membolehkan kanak-kanak menonton televisyen tanpa dikawal ibu bapa.
Menurut David Sohn yang merupakan Pengerusi Language Arts di M.L. King Jr. Laboratory School, Evanston, Illinois, USA dalam buku keluaran CAP menyatakan kanak-kanak yang menonton televisyen antara lima hingga enam jam sehari, didapati mereka berada dalam kumpulan jadi mereka akan gagal untuk berinteraksi sesama sendiri. Pengawalan emosi yang tidak yakin akan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk berdiam diri sekaligus mengasingkan diri dari dunia luar. Mereka juga merasa takut antara satu sama lain serta menunjukkan kegelisahan dan tidak selesa bersama kawan-kawan.Kanak-kanak ini lebih gemar untuk melihat tetapi mereka tidak mahu jadi teman berbual, mereka mahu melihat tetapi tetapi tidak mahu bercakap dan mereka mahu melihat tetapi tidak mahu diajukan pelbagai soalan atau memilih untuk melakukan sesuatu. Oleh itu, mereka akan membesar menjadi seorang yang kelu untuk berkata-kata.
The Power of Television: A Critical Appraisal yang disampaikan oleh Conrad Lodziak menyatakan televisyen boleh dikatakan mempunyai “kesan mengasingkan penonton secara fizikal”. Mengasingkan diri daripada kelompok masyarakat yang mencerminkan “penswastaan hubungan sosial” dan pemisahannya menjadi penghalang besar dalam melahirkan perubahan sosial yang progresif. Sepertimana Elliot menjelaskan bahawa “proses penswastaan ini mengenepikan hak masyarakat yang mungkin ingin memberi jawapan balas kerana ia tidak berpeluang kepada mereka untuk bersatu ketika itu, keperluan umum mungkin dikenal pasti dan segala tuntutan boleh disuarakan.
Harry Skornia dalam bukunya Television and society yang dipetik oleh CAP menyatakan televisyen membawa kedudukan yang besar dalam kedudukan orang yang suka bermalas-malas. Mereka yang gemar membuang masa di depan televisyen mungkin dikagumi kerana ia lebih arif tentang orang yang terkenal dan produk di pasaran berbanding orang lain. Mereka menjadi “penonton contoh”. Adakah televisyen membentuk sebahagian besar golongan yang suka bermalas-malas padahal usaha-usaha produktif mereka boleh disalurkan kepada perkara yang lebih bermanfaat.
Tindakan ganas yang dipaparkan di kaca televisyen sering mendapat pujian dan kadangkala tidak dihukum. Adegan sebegini lebih mendorong kepada perbuatan menyokong adegan ganas. Kanak-kanak lebih cenderung meniru dan memandang tinggi watak-watak yang menggunakan keganasan sebagai suatu yang menarik. Tindakan ganas di televisyen sering dianggap suatu perkara yang wajar dilakukan. Kanak-kanak kecil lebih cenderung mecederakan rakan sebaya dan bukan menolongnya selepas menonoton siri kartun yang memaparkan adegan ganas yang wajar. Penonton yang melihat persamaan antara diri mereka dengan tindakan dan perasaan mereka dan tindakan ganas, tema atau suatu watak dalam filem, lebih cenderung mencontohi keganasan yang sama dalam kehidupan sebenar. Ini terutamanya benar di kalangan kanak-kanak. Pendedahan yang berlebihan kepada keganasan media boleh menghasilkan penumpulan psikologi maklum balas emosi yang normal kepada persekitaran yang ganas. Ia juga boleh menyebabkan kurang respons kepada keganasan dalam kehidupan sebenar.
Keadaan boleh menjadi kacau bilau sepertimana filem Robocop (1987) telah meragut seramai 32 orang manakala filem sambungannya itu pada tahun 1990 telah meragut seramai 82 orang. Dalam filem seram Silence Of The Limbs pengarah Johnthan Demme mencampuradukkan yang lama dengan yang baru memaparkan plot yang menakutkan dan memfilemkannya mengikut kebijaksanaan dan citarasa ala Hitchcock. Hakikatnya cerita seram ini memang terganggu dengan memaparkan adegan ganas sama ada di televisyen, pawagam mahupun melalui pembacaan.
Dalam semua budaya pop (seperti dalam kebanyakkan masyarakat) wanita menjadi mangsa pilihan. Sepertimana dialog Arnold Schwarzenegger kepada isterinya sebelum ia menghapuskan isterinya dalam filem Total Recall. Penonton gemarkan adegan seperti itu yang mana si isteri mendapat apa yang sepatutnya. Sama seperti watak Laura Palmer ratu dalam Twin Peaks yang sebenarnya memang ditonjolkan sebagai seorang wanita yang berkelakuan tidak senonoh, mendapat apa yang sepatutnya. Pelbagai bentuk pemusuhan terhadap kaum wanita dipaparkan dalam budaya popular masa kini.
Dalam Berita Harian Online juga menyatakan bahawa BEVERLY Hills 90212, Power Rangers dan Ultraman merupakan siri televisyen yang sedikit sebanyak mempengaruhi minda remaja dan kanak-kanak negara ini. Ramai berpendapat cerita itu berunsur ganas, bengis dan mempamerkan gaya hidup yang kurang elok. Ini belum lagi mengambil kira filem yang sering ditayangkan di televisyen mengenai perilaku negatif manusia seperti penyalahgunaan dadah, merompak, membunuh, rogol, buang anak, masalah juvana dan sebagainya. Namun, persoalannya kini, adakah apa yang dipaparkan mempengaruhi penonton secara negatif dan menjurus ke arah keruntuhan moral?.
Siri-siri kartun dan cerita-cerita banyak memaparkan adegan-adegan ganas seperti pembunuhan dan aksi lasak yang lain. Cerita kartun sebagai contonhnya membawa adegan yang kelakar pada dasarnya namun jika di amati dengan mendalam setiap gerak geri yang di tayangkan mungkin akan menjadi ikutan kepada kanak-kanak tersebut. Cerita di mana waktu seseorang itu di bunuh dan akhirnya akan kembali hidup mendorong kanak-kanak untuk mencuba. Hal demikian mungkin sedikit sebanyak mendorong emosinya supaya mencuba. Antara cerita-cerita yang banyak mendorong kanak-kanak untuk mencuba adalah seperti dalam filem Die Hard 2 (1990) berjaya memaparkan “kehebatan” mereka iaitu daripada sejumlah 18 yang terkorban dalam filem asal kepada 264 mangsa (ini termasuk nahas kapal terbang yang mengorbankan 200 nyawa sekaligus).
Dalam artikel Jalan Hadapi Dilema Teknologi menyatakan kemajuan teknologi yang dicapai manusia zaman ini memang sangat mengagumkan. Tetapi sekali gus juga membingungkan. Malah membimbangkan. Pada peringkat dunia sejagat kita bimbang (dan gerun!) dengan kemajuan yang dicapai manusia di bidang teknologi senjata. Dan pada peringkat yang lebih mikro di samping merasa sangat selesa dengan kemajuan teknologi komunikasi kita juga merasa sangat resah dengan kesan-kesan sampingannya yang mengancam nilai-nilai kemanusiaan. Komputer peribadi, terutama yang mempunyai kemudahan internet, umpamanya, adalah antara alat teknologi komunikasi yang selama ini sering disebut-sebut sebagai sangat berguna untuk pelbagai keperluan seperti untuk menerima, mengirim dan merakamkan maklumat. Tetapi dalam pada itu kita juga merasa resah kerana alat tersebut juga telah menjadi satu saluran bahan-bahan lucah dan juga telah disalahgunakan untuk tujuan-tujuan maksiat dan kemudahan perjudian.
Dan lebih merunsingkan ialah bahan-bahan lucah itu ada kalanya terpancar di layar komputer secara automatik sebaik sahaja kita membuka komputer. Ertinya bahan-bahan itu ``dipaksakan'' kepada kita walaupun kita tidak bermaksud untuk melihatnya terpancar di layar komputer. Didorong oleh projek koridor raya multimedia Negara, sekolah-sekolah di seluruh negara mula membeli komputer dan menghubungkannya kepada internet dalam usaha memburu teknologi. Di beberapa buah taman didikan kanak-kanak prasekolah turut diberi peluang menggunakan komputer untuk mempelajari asas-asas pendidikan sekolah. Bahkan beberapa buah pasar raya menjual komputer kanak-kanak yang mengajar matematik dan bahasa. Dan sekarang setiap rumah di seluruh negara digalakkan memasang sebuah komputer. Komputer adalah alat pemikiran yang tercanggih yang direka. Dengan menggunakan komputer, kanak-kanak tidak perlu berfikir. Apa yang mereka perlu lakukan adalah belajar untuk melayari perisian dengan bertindak balas kepada skrin dalam beberapa cara.
Menurut pakar-pakar pendidikan, banyak perisian pendidikan untuk kanak-kanak adalah dengan cara menghafal. Hal demikian memudahkan kanak-kanak untuk mengambil jalan pintas untuk berjaya. Malah, mereka akan beranggapan untuk berjaya mereka hanya pelu untuk menghafal tanpa berusaha. Sesetengah perisian menghalang kanak-kanak daripada berfikir jauh melebihi pilihan yang boleh diberi, hingga akhinya melemahkan daya imaginasi dan perasaan ingin menguasai. Kreativiti dan imaginasi adalah faktor-faktor penting dalam mengembangkan daya intelektual dan menyelesaikan masalah rumit dalam setiap bidang akademik.
Kepantasan dan kemudahan menggunakan komputer menjadikan semakin ramai kanak-kanak semakin kurang tolerans terhadap kekecewaan (atau kurang sabar). Mereka akan menjadi kanak-kanak yang tidak boleh mengawal kekecewaan walaupun hanya menghadapi sedikit kegagalan. Malah mereka lebih suka meluahkan kemarahan secara agresif di samping suka mendesak, tidak sabar, tidak mengendahkan peraturan bahkan penuh kebencian terhadap rakan sebaya, tidak tegas dan mudah ‘terluka’. Kekecewaan adalah luahan perasaan yang datang daripada sikap agresif semula jadi dalam diri kita. Kegagalan untuk bertoleransi terhadapnya menyebabkan kita mempamerkan sikap agresif. Kanak-kanak yang dibesarkan untuk menikmati kepuasan segera akan menjadi berang apabila mereka terpaksa menunggu giliran, dipinggirkan atau tidak memperolehi apa yang dingini.
Di sebalik kemampuan komputer membentuk komuniti maya, secara fizikal komputer bersikap anti-sosial. Komputer mengajar kanak-kanak tidak ada salahnya mereka menyendiri, dan bukan salahnya mencari kawan untuk berbual atau bermain bersama. Pengguna komputer akan menjadi seorang yang berat mulut, kurang sedia menghadapi risiko yang membina kecekapan dan kreativiti.
Selain itu, dalam laman web Wikipedia pula menyatakan kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat (sama ada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet. Pada masa yang sama, kebebasan maklumat yang dijanjikan oleh dunia siber ini menimbulkan rasa gerun bagi pihak pentadbir sesetengah negara yang selama ini mahu mengongkong kebebasan bersuara, berfikir dan berpendapat penduduk mereka.
Selain televisyen, komputer dan internet, telefon bimbit juga merupakan satu teknologi yang semakin popular di kalangan kanak-kanak. Penggunaan telefon bimbit sebenarnya mampu menjejaskan kesihatan kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa harus berfikir dua kali sebelum memenuhi permintaan anak mereka untuk memiliki telefon bimbit kerana alat itu berpotensi menjejaskan kesihatan pada jangka masa panjang walaupun tiada pengesahan jitu mengenainya. Dalam artikel Telefon bimbit mampu jejas kesihatan kanak-kanak mengemukakan pendapat seorang Profesor biokejuruteraan, Universiti Washington, Henry Lai, menyatakan bahawa penyelidik telah membuat spekulasi sejak lebih 10 tahun bahawa pancaran radiasi elektromagnetik telefon bimbit mungkin menyebabkan kerosakan DNA selain tumor otak tidak berbahaya.
Pengerusi Badan Perlindungan Radiologi Kebangsaan Britain, Januari lalu menasihati ibu bapa tidak memberi telefon bimbit kepada kanak-kanak berusia lapan tahun atau ke bawah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap potensi ancaman radiasi alat telekomunikasi berkenaan. Lai menambah lagi, apabila menggunakan telefon bimbit, 70 peratus hingga 80 peratus tenaga yang dipancarkan daripada antena diserap oleh kepala. Beberapa kajian menunjukkan potensi kesan serapan jangka panjang radiasi pancaran telefon bimbit tetapi hanya segelintir saja kajian seperti itu menjuruskan kesan penggunaannya terhadap kanak-kanak. Keadaan begitu membimbangkan terhadap kesan kepada kanak-kanak sebab tengkorak orang muda adalah nipis dan otak yang sedang berkembang mungkin mudah menerima resapan radiasi.
Beliau berkata lagi, disebabkan tumor otak selalunya mengambil masa antara 30 tahun dan 40 tahun untuk berkembang, kanak-kanak yang menggunakan telefon bimbit bermula daripada usia remaja lagi akan mempunyai masa yang panjang untuk mendapat kesannya dan menggalakkan pengguna meletakkan antena jauh daripada kepala apabila menggunakannya. Kebanyakan kajian mengenai perkara ini sudah dihentikan di Amerika Syarikat kecuali beberapa kerja yang disokong oleh industri telefon bimbit, termasuk kajian bebas di Eropah. Dalam artikel Jalan Hadapi Dilema Teknologi menyatakan selain telefon bimbit selular analog dan perkhidmatan komunikasi peribadi digital (PCS) terdapat model terbaru telefon mudah alih dan dipercayai telah meningkatkan risiko penganiayaan terhadap kanak-kanak seperti pelacuran dan rogol. Alat baru itu dipanggil 3G yang dianggap sebagai generasi ketiga telefon bimbit yang jauh lebih maju daripada dua ``generasi'' sebelumnya.

Penggunaan teknologi bukanlah tidak boleh diguna pakai tetapi perlu diberi pengawasan yang sepatutnya. Ibu bapa yang perlu memainkan langkah yang bijak dalam mengawal kanak-kanak daripada mendapat kesan negatif seperti di atas. Penulis berpendapat pengawalan terhadap televisyen, komputer serta teknologi yang lain akan mengurangkan implikasi seperti itu berlaku. Langkah yang bijak bagi kanak-kanak mengisi masa mereka adalah dengan beriadah di taman-taman permainan ataupun dengan memberi peluang untuk bergaul dengan rakan-rakan yang lain dan bukanlah dengan cara memerap di dalam rumah untuk menonton televisyen ataupun bermain games dalam komputer.


1 Ulasan:

Anonymous Tanpa Nama berkata...

Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

24 Mei 2009 3:39 PG  

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

Pautan pada catatan ini:

Buat Pautan

<< Laman utama