Sabtu, 10 November 2012

Gaya Dan Teori Kepimpinan

1.1 PENGENALAN

Di jabatan-jabatan kerajaan dan jabatan swasta daya pengeluaran boleh terjejas dengan adanya tanda masalah psikologi seperti ponteng kerja, datang lambat, melambat-lambatkan kerja, lembap memberi layanan kaunter, menggunakan masa pejabat untuk kerja-kerja peribadi, berlengah-lengah di kantin pejabat dan juga bersikap kasar dan sombong terhadap orang ramai yang memerlukan khidmat (Aminuddin Mohd Yusuf, 1994: 1). Masalah-masalah ini menunjukkan bahawa peranan dan gaya kepimpinan seseorang dapat mempengaruhi kejayaan ataupun kegagalan di dalam sesebuah organisasi.

Kepimpinan merupakan satu proses interaksi sosial yang dialami oleh semua individu pada hari ini. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa setiap orang adalah pemimpin dan setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab terhadap orang yang dipimpin. Kepimpinan merupakan satu konsep yang mengandungi pelbagai maksud yang berbeza-beza. Misalnya, Bernard Urwick berpendapat bahawa kepimpinan adalah kualiti tingkah laku individu ketika dia memandu (mengetuai) aktiviti kumpulan untuk mencapai objektif organisasi. Robert J. House dan Mary L. Baetz (1979), berpendapat bahawa kepimpinan boleh berlaku dalam kumpulan yang melibatkan dua orang atau lebih dan selalunya melibatkan pengaruh kepada ahli kumpulan dalam mancapai sesuatu matlamat kumpulan.

3.1 DEFINISI KEPIMPINAN

Ramai diantara pengkaji mendefinisikan kepimpinan berdasarkan perspektif masing-masing serta berasaskan aspek fenomena yang paling menarik bagi mereka (Yukl,1981). Oleh sebab itu bersesuaian dengan pendekatan teori yang akan digunakan nanti, definisi yang disarankan oleh Fleisman (1973) dan Tannenbaum, Weshler dan Massarik (1961) daripada tradisi kajian-kajian Ohio States yang pada akhirnya mengembangkan teori laluan matlamat serta serta definisi Fiedler (1967) dalam teori kontingensi sesuai di gunakan sebagai panduan.

Fleishman menyatakan:

‘Kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh antara perseorangan yang diarahkan melalui proses komunikasi, ke arah pencapaian matlamat atau beberapa matlamat’ (1973: 3).

Tannenbaum, Weschler dan Massarik (1961) juga memberi definisi yang hampir sama. Bagi Fiedler pula, kepimpinan adalah :

......kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh antara perseorangan dimana kuasa dan pengaruh diagihkan secara tidak sama rata sehingga seorang individu boleh mengarah dan mengawal tindakan-tindakan orang lain lebih daripada kawalan mereka ke atas induvidu itu’(1967: 11).

Kedua-dua definisi ini boleh digolongkan ke dalam klasifikasi kepimpinan sebagai pengenaan pengaruh seperti yang disarankan oleh Stogdill (1974, Bass, 1981) iaitu kepimpinan mempunyai sebelas makna, antaranya ialah fokus proses kelompok, personaliti dan kesannya, penggunaan pengaruh, tindakan atau tingkah laku, satu bentuk pemujukan, hubungan kuasa, alat mencapai matlamat, kesan interaksi yang muncul, peranan terbeza dan pendayautamaan struktur.

Beberapa perkara yang boleh dimiliki oleh kepimpinan ialah dengan berasaskan definisi-definisi ini. Pertama, kepimpinan mengandungi andaian bahawa ia adalah fenomena kelompok. Kedua, kepimpinan melibatkan hubungan antara perseorangan. Ketiga, dalam kepimpinan seseorang atau beberapa orang lain dalam kelompok itu. Akhir sekali, tindakan mempengaruhi ini diarah kepada usaha mencapai matlamat yang dimiliki (common) oleh anggota-anggota kelompok. Sungguhpun Fiedler (1967) tidak menyebut cara arahan itu dilakukan seperti yang disarankan oleh Fleishman (!973) tetapi hubungannya ‘mengarah’ dan ‘mengawal’ itu tentulah tidak dapat dilakukan tanpa proses komunikasi.

Sebagai satu konsep yang abstrak, kepimpinan menjadi lebih bermakna jika diberi definisi operasi. Di dalam ini, dua aspek kepimpinan menjadi fokus iaitu tingkah laku pemimpin dan gaya kepimpinan. Kebanyakan pengkaji (misalnya Stogdill,1974: Bass,1981) merujuk kepada kedua-dua istilah ini secara bertukar ganti sedangkan Fiedler (1967) mendefinisikan kedua-duanya sebagai dua konsep yang berbeza. Bagi beliau:

......dengan tingkah laku kepimpinan kita maksudkan pada amnya tindakan-tindakan tertentu yang dibuat oleh pemimpin dalam masa mengarah dan menyelaraskan kerja-kerja anggota-anggota kelompoknya. (1967: 36)

Ini mungkin melibatkan tindakan seperti menstrukturkan hubungan kerja, memuji atau mengkritik anggota-anggota kelompok dan menunjukkan timbang rasa kepada kebajikan dan perasaan mereka. Gaya kepimpinan pula sebalinya didefinisikan sebagai:

..... struktur keperluan yang mendasari induvidu yang memotivasikan tingkah laku dalam aneka situasi kepimpinan. (1967:36)

Gaya kepimpinan merujuk kepada matlamat dan keperluan dalam situasi-situasi yang berbeza. Perbezaan ini dianggap penting oleh Fiedler (1967) kerana tingkah laku penting untuk seseorang berubah daripada satu situasi ke situasi lain, struktur keperluannya yang memotivasikan tingkah laku itu mungkin tidak berubah-ubah.

Pemimpin pula boleh didefinisikan sebagai suatu kuasa yang dapat mempengaruhi orang lain iaitu kuasa yang dapat menghubungkan pemimpin (ketua) dan juga pengikut (pekerja) untuk mendorong pekerja supaya menggunakan tenaga secara tersusun untuk mencapai satu matlamat. Pemimpin muncul apabila ada kelompok manusia. Dalam kelompok manusia, ketua atau pemimpin diperlukan agar segala rancangan dan tindakan setiap anggota kelompok dapat berjalan dengan baik. Pemimpin boleh dikatakan sebagai penyatu hasrat kelompok. Oleh itu, tidak ada kelompok yang boleh hidup sebagai sebuah masyarakat tanpa pemimpin. Malah dalam perkembangan kehidupan masyarakat hari ini kita tidak boleh memilih untuk hidup tanpa pemimpin, kita memerlukan pemimpin pada semua peringkat kehidupan. Ini kerana pemimpin adalah penanda atau pelengkap pada reka bentuk organisasi. Tanpa pemimpin juga carta organisasi tidak akan sempurna dan organisasi tidak akan kekal lama (Robiah K. Hamzah 2001: 18).

Pemimpin juga berfungsi sebagai penentu sempadan bidang kuasa dan tindakan antara peringkat bawahan dengan peringkat atasan. Tanpa pemimpin hukum beradat dalam masyarakat tidak akan wujud. Dengan cara ini sahaja sesebuah organisasi akan berjaya mengalami perubahan. Pemimpin juga merupakan penggerak utama dalam sesebuah organisasi. Tanpa pemimpin sesebuah organisasi tidak akan dapat bergerak lancar kerana tiada pengawasan dan pengarahan. Kebiasaanya orang yang sanggup menjadi pemimpin ingin mendapatkan kedudukan, kekayaan, kekuasaan dan juga ingin benar-benar mendapatkan kepuasan untuk berkhidmat pada kelompoknya. Kepuasaan ini bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk kelompoknya (Robiah K. Hamzah 2001: 19).

4.1 CIRI-CIRI KEPIMPINAN
Bagi menjadi seorang ketua tak kira apa jua jenis kepimpinan, maka seseorang itu memerlukan ciri-ciri kepimpinan tertentu. Sebenarnya banyak ciri-ciri kepimpinan yang boleh dibincangkan. Oleh itu seorang ketua haruslah mempunyai ciri-ciri kepimpinan. Di bawah ini dihuraikan ciri-ciri tersebut:-
a) Sihat - Seorang ketua hendaklah sihat tubuh badannya dan sihat mentalnya. Seseorang itu tidak boleh memimpin apa jua jenis kegiatan jika ia tidak sihat dan tidak mempunyai kecergasan fizikal yang secukupnya. Mental yang sihat pula akan membolehkan seseorang ketua itu sentiasa bertindak waras dan rasional.
b) Minat dan dedikasi – minat yang mendalam di dalam bidang yang dipimpin hendaklah wujud di dalam jiwa seorang ketua. Tanpa minat seseorang ketua tidak akan berjaya memimpin kumpulan-kumpulannya di dalam bidang yang dipimpin. Minat yang mendalam biasanya akan melahirkan semangat gigih, rajin bekerja atau dedikasi. Tanpa sifat gigih dan dedikasi seseorang ketua itu tidak akan berjaya membangunkan kumpulan tersebut.
c) Sikap sosial – seorang pemimpin kegiatan luar hendaklah mempunyai sikap sosial yang baik. Ia hendaklah mengasihi orang dipimpinnya, menerima mereka sebagai ahli kumpulan, bertolak ansur, bertimbang rasa, adil, tidak mementingkan diri sendiri dan selalu meluangkan masa bagi mendengar masalah ahli kumpulan.
d) Taat Setia – Ketua hendaklah juga taat setia kepada kumpulan sebagai mana ia mengharapkan kumpulannya berbuat perkara yang sama terhadapnya. Ia mesti mementingkan kumpulannya dari kumpulan lain. Ia mesti sentiasa berdiri teguh di belakang kumpulan. Segala susah payah dan tumbang bangun kumpulan adalah juga adalah susah payah dan tumbang bangun ketua itu.
e) Pintar – Seseorang pemimpin mestilah pintar. Orang yang pintar dapat menganalisa sesuatu keadaan atau permasalahan yang baik serta dapat memisahkan antara perkara yang penting dengan yang tidak. Dengan demikian beliau dapat menghasilkan pendapat-pendapat atau rumusan yang bernas lagi berkesan. Orang yang bodoh sudah tentu tidak layak memimpin orang lain. Perlu ditekankan bahawa orang yang pintar tidak semestinya orang yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi. Orang yang pintar biasanya berpandangan jauh dan cepat peka terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Dengan demikian ia dapat bertindak bagi kebaikan kumpulan.
f) Daya usaha – Daya usaha atau inisiatif adalah satu kualiti yang membuat seseorang itu dapat bergerak atau bekerja tanpa menunggu arahan atau gesaan dari mana-mana pihak. Orang yang bekerja di atas dasar ‘seperti pahat dengan pemukul’ adalah tidak sama sekali layak dijadikan ketua. Ketua yang mempunyai daya usaha akan sentiasa melahirkan program-program aktiviti-aktiviti atas sesuatu untuk kumpulan. Tanpa aktiviti kumpulan akan menjadi statik. Orang yang mempunyai inisiatif adalah biasanya orang yang kreatif dan produktif.
g) Berani – ciri ini membolehkan ketua supaya terus dapat memimpin kumpulan walau di dalam apa keadaan sekali pun. Ketua yang (samada dari segi fizikal atau moral) dapat melahirkan keputusan yang sukar dan berat. Ia berani bertanya, berani berhadapan orang ramai, berani menegur dan sentiasa bersifat cekal di dalam kecemasan. Tetapi perlu ditekankan bahawa berani yang dimaksudkan di sini bukanlah berani yang tidak berasas dan membabi buta sehingga terkeluar dari batas logik dan kewarasan. Seorang ketua yang berani membabi buta adalah lebih merbahaya.
h) Jujur – Dengan bersifat jujur seorang ketua akan sentiasa berterus-terang kepada kumpulannya. Jika ia tidak tahu mengenai sesuatu perkara ia akan mengatakan tidak tahu. Jika ia belum melakukannya sesuatu perkara maka ia akan berkata ia belum melakukannya. Sementara ketua yang tidak jujur atau membohongi kumpulannya dengan beberapa alasan yang hebat. Seorang yang jujur ialah juga orang yang amanah. Kumpulan akan sejahtera jika ketua tidak menyeleweng samada dari segi tugas moral atau material.
i) Disiplin – Ketua yang berdisiplin akan dicontohi dan dipatuhi oleh pengikutnya. Di dalam ciri-ciri disiplin yang tinggi adalah diperlukan demi menjaga nama dan keselamatan kumpulan. Segala arahan peraturan dan etika perlu dipatuhi sepenuhnya. Ketua yang berdisiplin akan sentiasa mematuhi perkara-perkara tersebut dan selanjutnya ia akan menentukan pula supaya kumpulan juga berbuat demikian. Hanya mereka yang berdisiplin sahaja boleh mendisiplinkan orang lain. Disiplin yang dimaksudkan disini bukan setakat mematuhi arahan dan peraturan sahaja tetapi juga termasuk dari segi mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik.
j) Tegas dan fleksibel – Dengan bersifat tegas seseorang ketua itu akan di yakini oleh kumpulan. Keputusan dan arahannya akan dipatuhi tanpa keraguan dan kelewatan. Ketua yang tegas akan disegani oleh pengikutnya. Ketegasan adalah perlu terutamanya yang berkaitan dengan keselamatan. Seseorang yang tegas diterima adalah orang yang berdisiplin dan berani. Seseorang ketua hendaklah pula bersifat fleksibel pada ketika-ketika tertentu terutama sekali bagi tujuan keselamatan kumpulan. Sebagai contoh ia haruslah boleh memilih cara lain apabila satu cara yang dirancangkan itu membahayakan kumpulan.
k) Yakin – Seseorang pemimpin hendaklah yakin kepada dirinya sendiri. Yakin kepada diri sendiri ialah yakin kepada kebolehan yang ada, yakin kepada segala keputusan dan tindakan yang telah dibuat untuk kumpulan dan apa yang lebih penting ialah yakin kepada kepimpinan sendiri. Dengan demikian seseorang ketua dapat menjalankan tugasnya tanpa ragu-ragu. Ketua yang ragu-ragu kepada dirinya sendiri tidak akan mempunyai kekuatan dalaman untuk memimpin orang lain. (
http://www.angelfire.com/az/progscoutkedah/kepimpinan.html [29.5.07].
5.1 GAYA KEPIMPINAN

Dalam mencapai matlamat sesebuah organisasi, pemimpin perlu proaktif melalui aspek keberkesanan gaya kepimpinannya terhadap pekerja. Seorang pemimpin tidak semestinya hanya seorang Pengarah ataupun seseorang yang memegang jawatan tertinggi dalam organisasi. Tetapi mereka yang mampu mempengaruhi organisasi ke arah pencapaian matlamat juga boleh diklasifikasikan sebagai pemimpin berasaskan kemampuan memimpin menggunakan kebijaksanaan, kemahiran, pengalaman, tahap senioriti dan sebagainya (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).

Gaya kepimpinan dalam kajian Fiedler adalah hubungan peribadi apabila seseorang mengarah, menyelaras dan menyelia orang lain dalam pelaksanaan tugas bersama. Pemimpin mengurus kelompok dengan salah satu cara memberitahu orang apa yang hendak dibuat dan bagaimana hendak membuatnya atau berkongsi tanggungjawab kepimpinan dengan anggota-anggota kelompok dan melibatkan mereka dalam perancangan pelaksanaan tugas. Fiedler tidak menafikan terdapat berbagai-bagai gaya antara kedua-dua gaya kepimpinan ini tetapi asasnya ialah kerja-kerja memotivasi dan menyelaraskan ahli kelompok dilakukan dengan dua gaya kepimpinan ini. Gaya ini boleh difahami daripada cara seseorang menilai rakan sekerjanya yang paling tidak disukainya (LTC). Pertama dipanggil LPC-rendah dan kedua LPC-tingg (Aminuddin Mohd. Yusof 1994:14).

Gagasan teori kepimpinan ini mempunyai akarnya dalam teori hubungan antara perseorangan. Dalam kajian asalnya yang memeriksa hubungan antara ahli terapi dengan pelanggannya, Fiedler mendapati ahli terapi yang baik reputasinya cenderung menghuraikan pesakitnya sebagai sama dengan dirinya. Sementara yang tidak baik reputasinya menghuraikan pesakit tidak sama dengan dirinya. Ukuran ini, yang dipanggil persamaan andaian (Assumed Similarity A.S.) (Aminuddin Mohd. Yusof 1994:14).


6.1 TEORI-TEORI KEPIMPINAN

Umumnya organisasi boleh dibahagikan kepada tiga model iaitu model pertama dinamakan pendekatan klasik atau pendekatan mekanistik, kedua adalah pendekatan neo-klasik dan ketiga adalah pendekatan sistem. Model pendekatan klasik mempunyai ciri-ciri seperti menganggap manusia setaraf dengan mesin dan peralatan lain dalam organisasi, mengganggap manusia sebagai sejenis makhluk ekonomi yang rasional dan hanya berminat kepada wang, mempunyai struktur organisasi yang bersifat birokrasi dengan hierarki yang jelas, mempunyai komunikasi sehala (dari atas ke bawah) dan juga mempunyai pembahagian kerja yang jelas dengan penekanan pada tugas. Semua tugas ini dirumuskan secara saintifik hingga model ini digelar sebagai pengurusan saintifik yang mempercayai bahawa hanya terdapat satu sahaja cara bekerja yang terbaik dan berkesan. Gaya kepimpinan ini adalah bersifat autokratik atau dipanggil juga teori X.

Model organisasi yang kedua adalah pendekatan neo-klasik (hubungan manusia). Model ini memberi penekanan kepada peranan pengurus pemimpin organisasi dengan andaian bahawa manusia bukan hanya semata-mata mahkluk ekonomi, tetapi juga mahkluk sosial yang mempunyai peranan, nilai, sentimen dan rasa setia kawan. Model ini menekankan peranan pengurus dalam organisasi yang memberi implikasi yang penting pada komunikasi dan gaya kepimpinan. Corak kepimpinan bersifat demokratik dan bersikap positif terhadap pekerja. Dalam model ini komunikasi adalah bersifat dua hala dan pekerja diberi sedikit kebebasan untuk membuat keputusan. Keadaan ini merupakan teori Y.

Model organisasi yang ketiga ialah pendekatan sistem. Model ini memberi tumpuan pada organisasi secara keseluruhan, secara sepadu sebagai suatu sistem terbuka yang mempunyai dua jenis persekitaran iaitu dalaman dan juga luaran. Kedua-duanya saling mempengaruhi antara satu sama lain. Oleh itu organisasi adalah satu subsistem dan sistem yang lebih besar yang di dalamnya mengandungi subsistem yang lain pula.

Keberkesanan sesebuah organisasi dapat diukur melalui keuntungan dan produktiviti serta kepuasan dikalangan pekerja. Namun kedua-dua faktor ini adalah bertentangan. Produktiviti boleh dicapai tanpa kepuasan bekerja dan sering kali pula kepuasan bekerja tercapai tanpa produktivitinya yang tinggi. Oleh sebab itu ada induvidu yang menganjurkan supaya keberkesanan itu diukur daripada keupayaan sesebuah organisasi mendapatkan dan menggunakan sumber dengan cekap untuk mencapai matlamat organisasi. Kesimpulannya sesebuah organisasi dikatakan berkesan apabila pekerjanya melakukan tugas dengan baik ( doing the right thing right) dan melakukan tugas yang betul (doing thing right). Kedua-dua sikap dan amalan ini memerlukan pemikiran yang strategik dan latihan yang sesuai dengan jenis kerja yang hendak dilakukan. Andainya kedua-dua faktor ini diutamakan, sesebuah organisasi akan berjaya.

Organisasi yang produktif dan berjaya tahu mengimbangkan keperluan fizikal dan manusia. Namun dalam operasinya ia memberi fokus pada aspek manusia secara sedar dan teratur oleh pemimpin organisasi. Organisasi juga perlu peka pada standard yang tinggi yang dapat di capai, bukan sekadar berbangga dengan slogan kosong. Organisasi yang berjaya juga memiliki ahli-ahli yang iltizam terhadap peranan dan tugas masing-masing berasaskan sikap saling percaya-mempercayai antara pihak pengurusan dengan pekerja tanpa sebarang motif untuk menipu (dari pihak pengurusan) atau sabotaj (daripada pihak pekerja), iltizam ini berasaskan kejujuran dan keikhlasan yang harus dimulakan oleh pemimpin yang sentiasa memberi bimbingan kepada pekerjanya. Organisasi yang produktif dan berjaya tidak terikat kepada model atau struktur yang tertentu tetapi terikat pada standard, etos organisasi dan kebajikan para pekerja.

6.1.1 Teori Latar
Teori dan kajian kepimpinan sebagai satu cabang psikologi sosial mengambil begitu banyak konsep dan model yang berasal daripada ahli-ahli falsafah Eropah, ahli-ahli Psikologi dan ahli sisiologi. Kepimpinan kini didekati melalui empat perspektif yang berbeza iaitu perspektif dinamik kelompok , perspektif konflik, perspektif keperluan dipelajari dan perspektif penghakikian diri. (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 57).

a) Pendekatan-pendekatan teori
i. Pendekatan Tret
Usaha mendekati fenomena kepimpinan bermula dengan pendekatan tret. Terdapat kepercayaan yang meluas pada abad ke-20 bahawa pemimpin adalah semula jadi bukan dibentuk. Pemimpin dianggap lebih tinggi kedudukannya daripada anggota-anggota lain dalam kelompok dan diberi sifat-sifat ketuhanan. Pemimpin juga diistilahkan sebagai orang kenamaan yang mana seseorang pemimpin itu mempunyai sifat-sifat yang tinggi untuk orang lain mengikutinya (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 57).

Kajian Teori tret selalunya mengambil bentuk pembandingan sifat-sifat fizikal, intelek dan personaliti antara pemimpin dengan pengikut. Mengikut kajian Cartwright dan Zander menyatakan pemimpin adalah lebih besar saiz fizikalnya dan lebih cerdas daripada anggota-anggotan lain. Pemimpin yang diterima dengan baik menunjukkan penyesuaian yang lebih baik dalam pelbagai ujian personaliti. Manakala kajian yang berpusatkan kemahiran pemimpin lebih cenderung kepada memberi maklumat dan lebih kerap membuat penjelasan tentang sesuatu situasi berbanding dengan lain-lain anggota. Kepercayaan terhadap peranan tret ini jugalah yang melahirkan pandangan tentang sifat karisma (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 57).

ii Pendekatan Fungsi
Kajian-kajian ini tidak lagi cuba mencari tret-tret pemimpin tetapi cuba menjawab soalan apakah tindakan yang dikehendaki oleh kumpulan kalau mereka ingin mencapai tugas yang dikehendaki, dan bagaimana anggota-anggota kumpulan yang berbeza mengambil bahagian dalam tindakan-tindakan tersebut. Kepimpinan dianggap sebagai melaksanakan fungsi kumpulan. Oleh sebab itu ia mengandungi tindakan anggota-angota yang membantu menetapkan matlamat kumpulan, menggerakan kumpulan ke arah mencapai matlamat, memperbaiki kualiti interaksi antara anggota-anggota dan memastikan adanya sumber-sumber bagi kumpulan (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 59).

Matlamat utama pendekatan ini ialah untuk mencari ciri-ciri tingkah laku yang perlu untuk terus hidup dan mencapai matlamat. Menurut Cartwright dan Zander, kebanyakan objektif kumpulan boleh disimpulkan dibawah satu daripada dua perkara, pertama pencapaian matlamat kumpulan tertentu dan kedua penyelenggaraan atau pengukuhan kumpulan itu sendiri. Ini bermakna setiap tingkah laku dalam kumpulan mestilah dapat menyumbang kepada pencapaian tugas dan penyelenggaraan kumpulan sungguhpun kedua-dua peranan ini boleh dimainkan oleh mana-mana anggota dalam kumpulan (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 59).

iii Pendekatan Tingkah Laku
Daripada pendekatan tret juga telah melahirkan teori tingkah laku yang cuba menerangkan fenomena kepimpinan berasaskan pola tingkah laku yang didefinisikan sebagai tindakan atau gaya pemimpin. Banyak teori tingkah laku yang telah diuji, kesemuanya mengandungi unsur-unsur dimiliki (gaya kepimpinan). (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 60).



b) Contoh Tokoh Pemimpin Teori Latar

Tokoh yang dapat disesuaikan dengan teori ini ialah Sidharta Gautama Budha. Beliau dilahirkan pada 563 SM di Taman Lumbini Kapilawastu, dari keturunan keluarga Shakya. Bapanya adalah seorang Raja yang bernama Sudhadana dan ibunya bernama Maya. Beliau tinggal di sebuah istana yang lengkap dengan segala kemewahan. Kepimpinan yang dimilikinya bukan dibentuk, tetapi secara semulajadi. Ketika beliau di dalam kandungan, seorang ahli nujum memberitahu bapanya bahawa anak yang akan dilahirkan ini akan menjadi seorang pengasas agama. Mendengar berita tersebut bapanya bimbang kerana beliau adalah satu-satunya pewaris yang bakal menduduki takhta bagi menggantikannya kelak. Bapanya berusaha sedaya upaya untuk mengelak beliau daripada menjadi pengasas agama dengan menyediakan segala kemewahan. Walau bagaimanapun, semua itu tidak dapat mengubah pendiriannya.

Dalam agama yang telah diasaskan oleh beliau ini terkandung ajaran-ajaran yang menyuruh manusia ke arah kebaikan. Sifat-sifat kepimpinan yang dimilikinya mendorong pengikut-pengikutnya menganggap beliau sebagai Tuhan.

6.1.2 Teori Kontingensi Fiedler

Teori ini mengandaikan bahawa tidak munasabah untuk menjangkakan bahawa seorang pemimpin boleh melakukan segala-galanya pada setiap masa lebih baik daripada orang lain. Setiap pemimpin yang mempunyai ciri yang baik akan berbeza daripada kelompok dengan kelompok yang lain dan situasi dengan situasi yang lain (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 62).

Istilah Kontingensi bermula apabila Fiedler mengemukan model Kontingensinya berasaskan andaian bahawa jenis sikap dan tingkah laku kepimpinan yang paling berkesan adalah bergantung kepada situasi tugas kelompok. Teori ini bermula sebagai pendekatan tret kerana Fiedler menumpukan perhatian kepada aspek sikap pemimpin. Fiedler pada mulanya menghipotesiskan bahawa persepsi pemimpin terhadap rakan-rakan sekerjanya mencerminkan sikap penting yang releven dengan tugas dan ini akan mempengaruhi interaksi dan prestasi kelompok. Untuk menarik makna psikologi daripada penemuan-penemuan yang signifikan, Fiedler mengembangkan teorinya menjadikan teori Kontingensi (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 63).

a) Situasi Kepimpinan
Model ini menetapkan jenis situasi tempat yang tinggi LPC-nya lebih berkesan daripada pemimpin yang rendah LPC-nya. Hubungan antara kedua-dua hirarki motif (LPC tinggi dan LPC rendah) ini dengan kriteria kebekersanan bergantung kepada pemboleh ubah situasi yang kompleks iaitu hubungan pemimpin pengikut, struktur tugas dan kuasa jawatan. Hubungan pemimpin pengikut melibatkan sejauhmana pemimpin diterima dan disukai iaitu hormat dan taat setia anggota-anggota kepada pemimpin itu. Bagi Fiedler ini adalah unsur terpenting dalam menentukan pengaruh pemimpin dalam kelompok kecil. Pemimpin yang diterima dengan sepenuh hati akan membuatkan orang bawahannya menjalankan kerja dengan lebih baik. Hubungan ini bagi Fiedler mungkin menjadi kuat seperti hubungan bapa anak dalam proses psiko analisis Frued. Ini juga berlaku dalam kelompok-kelompok yang anggotanya bergantung kepada kemahiran dan kebaikan pemimpin seperti dalam kelompok bilik darjah dimana guru ada kuasa kepakaran dalam mata pelajaran berkenaan (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 63).

Dimensi kedua dalam membentuk situasi ini ialah struktur tugas. Tugas kelompok adalah diberi oleh organisasi yang memiliki kelompok itu untuk mencapai matlamatnya. Bila struktur tugas tinggi maka organisasi melalui ketua kelompok boleh mengawal sejauhmana tugas yang akan dilaksanakan. Sesiapa yang melakukan kesalahan akan mudah dapat dilihat. Tugas seperti ini tentulah meletakkan pemimpin dalam keadaan yang sukar berbanding dengan tugas yang boleh diprogram dengan teratur dan terkawal. Dimensi ketiga dalam situasi kepimpinan ialah kuasa jawatan iaitu sejauhmana jawatan itu membolehkan pemimpin membuat anggota-anggota kelompoknya mematuhi dan menerima arahan kepimpinannya. Fiedler menyarankan ketiga-tiga dimensi ini bergabung untuk membentuk keberuntungan situasi (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 64).
b) Contoh Pemimpin Teori Kontingensi Fiedler

Pemimpin Teori Kontingensi Fiedler ini boleh dilihat dalam kepimpinan Jemaah al-Arqam iaitu Ustaz Asaari Muhammad yang dianggap oleh semua pengikutnya sebagai pemimpin agung. Pengikut-pengikut al-Arqam ini terkenal dengan taat setia mereka terhadap pemimpin sehingga mereka menerima apa sahaja ajaran tanpa menafikannya. Sebelum ini, Jemaah al-Arqam adalah satu badan dakwah yang aktif dan gigih menyebarkan ajaran Islam yang bercirikan ajaran tasawwuf. Hasil daripada kegigihan jemaah ini, akhirnya mereka berjaya menarik sebahagian masyarakat Islam di Nusantara amnya dan Malaysia khasnya untuk menyertai kumpulan mereka.

Kebanyakkan masyarakat tertarik dengan jemaah ini disebabkan oleh imej kepimpinan yang ditunjukkan oleh Asaari. Sifat beliau yang cukup bijak dalam setiap strategi dakwahnya, mendorongnya mengambil kira setiap aspek. Contohnya, beliau akan memahami dahulu suasana masyarakat yang disasarka seperti budaya, agama, amalan dan geografi. Beliau bijak meyesuaikan kumpulan yang dipimpin olehnya dengan masyarakat dan mudah mesra. Jikalau beliau pergi kepada masyarakat Kristian di luar negara, imej yang dibawa lebih kepada orang korporat yang datang untuk mencari rakan perniagaan, bukan sebagai pendakwah. Ini kerana orang Kristian cukup anti-Islam. Dalam pada masa yang sama, beliau menyelitkan dakwah secara berhemah dan kasih sayang. Strategi-strategi ini menarik ramai masyarakat menjadi pengikutnya.

6.1.3 Teori Laluan Matlamat
Kepimpinan memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Teori Kepimpinan Laluan Matlamat (Path Goal Theory) yang diperkenalkan oleh Robert House mencadangkan bahawa tingkah laku pemimpin seharusnya dilihat sebagai suatu tindakan yang boleh memotivasikan pekerja (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
Seorang pemimpin perlu menguatkan hubungan di antara gaya kepimpinannya dengan perwatakan pekerja dan agenda tugas sesebuah organisasi. Dengan ini, pemimpin akan memahami bahawa pekerja akan termotivasi sama ada dalam keadaan merasa berkemampuan untuk mencapai sesuatu tugas yang diberikan ataupun mereka dapat menjangkakan hasil kerja yang akan disiapkan ataupun berkepercayaan tentang aspek penghargaan yang akan diberikan berkaitan dengan hasilnya (
http://www.johordtgov.my/%20pmbj/v2/%20index [24.5.07]).
Justeru, adalah menjadi cabaran kepada seseorang pemimpin untuk menggunakan gaya kepimpinan terbaik bagi menemukan titik keperluan motivasi pekerja. Pemimpin perlu menyediakan elemen-elemen yang difikirkan dapat mengisi keperluan pekerja bagi mencapai matlamat organisasi (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
Teori Laluan Matlamat menggariskan tentang empat gaya kepimpinan yang boleh dimanfaatkan untuk memotivasikan pekerja iaitu:
a) Kepimpinan berorientasikan arahan (Directive Leadership)
Ia dikaitkan dengan gaya menyampaikan atau memberi penjelaskan kepada pekerja. Pemimpin memberikan arahan mengenai sesuatu tugas. Dengan menyertakan mengenai apakah harapannya berkaitan tugas tersebut. Pemimpin juga turut memberikan klu mengenai bagaimana tugas itu boleh disempurnakan dan juga penetapan waktu yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya. Arahan yang baik disampaikan kepada pekerja secara spesifik supaya pekerja mendapat gambaran awal dan kefahaman yang jelas untuk memulakan sesuatu tugasan yang diberikan (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
b) Kepimpinan berorientasikan sokongan (Supportive Leadership)
Ia merujuk kepada tingkah laku memberi pertimbangan kepada pekerja. Iaitu dengan gaya beramah mesra dan prihatin sebagai seorang pemimpin. Tingkah laku ini bertujuan untuk mewujudkan suasana kerja yang menyenangkan kepada pekerja. Di samping itu, seorang pemimpin melayan pekerja tanpa berdasarkan mobiliti sosial dan turut menghormati status kedudukan mereka. Gaya kepimpinan ini mampu mewujudkan suasana mesra agar pekerja termotivasi dengan penuh rela hati bagi melaksanakan sesuatu tugasan (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
c) Kepimpinan berorientasikan penyertaan (Participative Leadership)
Gaya ini pula merujuk kepada pemimpin yang mengalu-alukan penyertaan pekerja untuk mereka berkongsi menetapkan sesuatu keputusan. Pemimpin membuka ruang untuk rundingan kepada pekerja agar mereka dapat menyumbang idea serta pandangan. Begitu juga dengan peluang untuk meningkatkan cadangan dalam sesuatu keputusan berdasarkan persetujuan organisasi (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index[24.5.07]).
d) Kepimpinan berorientasikan pencapaian (Achievement-Oriented Leadership)
Kepimpinan dengan gaya ini memberikan cabaran kepada pekerja untuk melaksanakan tugasan pada peringkat tertinggi kemampuan mereka. Pemimpin akan sentiasa mencari peningkatan dan pencapaian yang berkesinambungan. Ini melalui langkah menyatakan keyakinan yang tinggi bahawa pekerja mempunyai kemampuan untuk mencapai matlamat bagi cabaran tersebut (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
Teori Laluan Matlamat tidak mengongkong seseorang pemimpin untuk menggunakan hanya satu gaya kepimpinan sahaja. Sebaliknya terbuka kepada penggunaan pelbagai gaya mengikut kesesuaian situasi. Cuma ia lebih tertumpu kepada pemberian motivasi kepada pekerja agar mereka lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas dengan sempurna (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
e) Contoh Negeri yang Mengamalkan Laluan Matlamat
Bagi merealisasikan agenda pembangunan negeri Johor melalui program Kerajaan Cekap, aspek kepimpinan adalah elemen yang sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi atau jabatan. Pemimpin berperanan membentuk organisasi yang berkesan dari pelbagai sudut, terutamanya dalam memotivasikan pekerja. Motivasi pekerja perlu diperbaharui dari semasa ke semasa agar pencapaian tugasan dalam organisasi terus meningkat dan berkesinambungan. Kecemerlangan dalam pembangunan negeri adalah terhasil melalui kecemerlangan modal insan dalam setiap organisasi (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
Setiap organisasi terutamanya jabatan-jabatan kerajaan perlu diperlengkapkan dengan pengetahuan mengenai gaya kepimpinan. Demikian agar persekitaran kerja yang kondusif dapat diwujudkan. Pencapaian dalam tugasan sesebuah organisasi juga akan lebih meningkat dengan pemantauan serta keprihatinan para pemimpin yang terdapat di dalam sesebuah organisasi (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]).
Kesimpulannya, pemimpin perlu mengarah (directive) jika sesuatu tugasan yang dihadapi adalah kompleks; sekiranya tugasan bersifat kurang mendesak, gaya menyertai (participative) pula boleh digunakan; jika pekerja mempunyai keinginan ke arah kecekapan berganda, gaya berorientasikan pencapaian (achievement oriented) boleh dimanipulasikan; manakala gaya berasaskan penyertaan (participative) pula digunakan bagi pekerja yang memerlukan kawalan (
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]
6.1.4 Teori sumber Kongnitif

Teori ini menyatakan bahawa kebolehan intelek pemimpin merupakan sumber utama kepada rancangan, keputusan dan strategi yang memandu tindakan kelompok, rancangan, keputusan dan strategi ini dikomunikasikan kepada kelompok dalam bentuk tingkah laku yang mengarah dan akan dilaksanakan jika kelompok menyokong pemimpin dan matlamat organisasi (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 75).

Teori sumber Kognitif membawa dua andaian dan tujuh hipotesis. Salah satu hipotesis ini menghubungkan teori baru dengan teori asal. Hipotesis ini menyatakan bahawa unsur kontingensi iaitu LPC dan kawalan situasi yang terbentuk daripada struktur tugas, hubungan pemimpin pengikut dan kuasa jawatan. Ia meramalkan bukan sahaja prestasi kepimpinan tetapi juga tingkah laku pemimpin. Tingkah laku pemimpin ini pula menentukan bagaimana kebolehan intelek memberi sumbangan kepada tugas. Hipotesis inilah yang memberi saranan kepada kemungkinan menggabungkan pembolehubah-pembolehubah daripada teori asal Fiedler dengan teori laluan matlamat (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 75).

a) Contoh Pemimpin Teori sumber Kongnitif

Tokoh yang dapat disesuaikan dalam teori ini adalah Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Di Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dilihat sebagai seorang pemimpin berintelektual tinggi. Ini dapat dilihat apabila beliau telah mengemukakan wawasan 2020, walaupun jangka masa itu jauh lagi. Beliau hadir sewaktu Malaya diliha memerlukan seseorang intelektual yang mampu berfungsi sebagai seorang pemikir dan beliau sesungguhnya adalah seorang thinking politician yang lebih terserlah berbanding dengan tokoh sezaman dengannya (Sivamurugan 2005: 32).

Edward Shils menganggap sekadar mempunyai prasarana masih belum berupaya memastikan berubahnya daya intelektual. Tun Dr. Mahathir dilihat mengeksploitasi suasana dan menggunakan krisis semasa untuk mengetengahkan daya intelektualnya. Golongan intelektual lazimnya terserlah dalam suasana krisis dan krisis 13 Mei 1969 boleh dianggap sebagai sebahagian daripada modern intellectual culture kerana it carries with it a partial transformation of the self and a changed relationship to the authority of the dead and the living. Ciri-ciri yang telah digariskan oleh Edward ini kebetulannya terdapat pada Tun Dr. Mahathir dari aspek pekerjaan iaitu sebagai seorang professional, sementara menggunkan politik sebagai arena yang menyerlah keberkesanan dan kebolehannya sebagai pemikir dan intelektual. Beliau merupakan seorang pemikir intelektual yang meneroka alam pemikiran dan melihat sesuatu secara radikal dalam usaha untuk membangunkan orang Melayu (ibid).

Tun Dr. Mahathir merupakan seorang pemimpin yang unik berbanding dengan kepimpinan sebelum ini. Hal ini kerana sejak beliau mengambil alih kepimpinan Negara pada tahun 1981, rakyat mengharap perubahan memandangkan beliau merupakan tokoh yang berwawasan, berjiwa rakyat, radikal dan dahagakan kemajuan untuk menjadi Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing. Keintelektualan beliau ini jelas boleh dilihat daripada penulisan beliau sehingga kini yang telah dimuatkan dalam akhbar-akhbar seperti The Straits Times dan The Sunday Times,The Malay Dilemma, The Challenge, Way Forward dan A New Deal For Asia untuk mengupas idea-idea beliau.
6.1.5 Teori Bidang Daya Penggerak
Teori ini dikemukakan oleh Kurt Lewin (1952). Mengikut teori ini sebarang tingkah laku adalah akibat keseimbangan antara daya penggerak tolakan dan daya penggerak penghalang. Daya penggerak tolakan mendorong ke satu arah, manakala daya penggerak penghalang mendorong ke arah yang lain. Prestasi yang muncul merupakan penyesuaian bagi kedua-dua set daya penggerak itu. Peningkatan daya penggerak tolakan mungkin akan meningkatkan prestasi atau sebaliknya, iaitu berlaku peningkatan daya penggerak menghalang. Contohnya apabila Pengetua meminta guru-guru bertugas di luar kemampuan dengan andaian akan meningkatkan kualiti kerja. Tindakan ini mungkin boleh menyebabkan kebencian dan sikap memberontak yang boleh mengurangkan tahap kerajinan dan kreativiti seseorang guru. Mungkin melalui pendekatan yang betul dan terancang boleh mengubah kepercayaan dalaman, guru-guru akan sukarela melaksanakan perubahan dengan lebih efisyen. Jadual 1 boleh menjelaskan Teori Bidang Daya Penggerak oleh Kurt Lewin.

Daya Penggerak Bagi Perubahan
Daya Penggerak Bagi Mengekalkan Status
(Daya Penggerak Tolakan)
(Daya Penggerak Menghalang)
Teknologi Baru
Norma-norma Prestasi Kumpulan
Input Yang Lebih
Kebimbangan Terhadap Perubahan
Persaingan Dari Kumpulan Lain
Rasa Kepuasan Anggota
Tekanan Penyelia
Kemahiran Yang Dikuasai
Tingkat Prestasi Semasa
Tingkat Prestasi Yang Lebih Tinggi
Jadual 1.
Teori ini menjelaskan perubahan organisasi boleh dipengaruhi oleh perubahan manusia, teknologi, perubahan struktur organisasi, proses dan keadaan. Proses perubahan dianggap sebagai satu sistem di mana jika salah satu faktor tersebut berubah, maka faktor lain juga turut berubah. Ia menjelaskan perubahan perlakuan berlaku hasil dari tiga peringkat perubahan iaitu :
Peringkat pencarian.
Perubahan baru.
Pembentukan semula.
Peringkat pencairan melibatkan tindakan menjadikan keperluan bagi perubahan begitu ketara sehinggakan individu, kumpulan atau organisasi dapat melihat atau menerimanya dengan baik. Perubahan baru memerlukan seorang agen perubahan yang terlatih untuk memupuk nilai, sikap dan perilaku yang baru melalui peroses-proses pengenalpastian dan penjiwaan. Para anggota organisasi mengenalpasti nilai, sikap dan perilaku yang dibawa oleh agen perubahan dan menjiwainya apabila mereka telah melihat keberkesanannya. Peringkat terakhir iaitu pembentukan semula bererti memantapkan pola perilaku yang baru itu dengan bantuan alat-alat sokongan, supaya ia menjadi norma yang baru (
http://www.geocities.com/padeat68/%20jurnal_Institut%20Pengetua%20.htm [24.5.07]).

6.1.6 Teori Kepimpinan Karismatik
Teori Kepimpinan Karismatik dirujuk kepada kepimpinan yang berwibawa dan mampu mempertahankan kepimpinannya kerana pemimpin tersebut dilihat seolah-olah sebagai saviors of the nations. Pemimpin yang mengamalkan teori ini dianggap sebagai agen perubahan, mereka cepat melihat kekurangan dalam apa-apa keadaan sekalipun dan mampu bertindak secara drastik dan professional. Pemimpin seperti ini tidak merasa puas dan sentiasa mencari kesempatan untuk membuat perubahan. Pemimpin seperti ini juga tidak mengambil masa yang lama untuk berfikir serta ingin melihat hasil perubahan dengan cepat (Jay A. Conger 1996: 34-35).
a) Contoh tokoh Teori Kepimpinan Karismatik

Tokoh yang dapat disesuaikan dengan teori ini adalah seperti Archie McGill. Beliau merupakan seorang tokoh yang berani dan penuh wawasan. Beliau terkenal dengan sifat yang tidak pernah duduk berdiam diri, ciri-ciri ini menggambarkan bahawa beliau adalah seorang yang berkarismatik. Ketokohan beliau dilihat sewaktu American Telephone and Telegraph (AT&T) mengambil beliau bekerja sebagai pengarah pemasaran di syarikat itu pada awal tahun 1970. Sewaktu menjawat jawatan tersebut, beliau bijak menangani masalah-masalah yang timbul dalam syarikat. Ini dapat dilihat pada waktu itu, pemasaran telah dibanjiri oleh produk pesaing dari seluruh dunia. Keadaan ini menyebabkan pasaran pemasarannya merosot sama sekali. Bagi menghindari daripada berulang lagi,beliau telah berpaling kepada pasaran luar. Bagi beliau, tanggapan cepat terhadap jualan lebih penting daripada infisiensi intern (Jay A. Conger 1996: 21-23).

Selain Archie McGill, terdapat tokoh lain juga yang boleh dikaitkan dengan teori kepimpinan ini seperti Mahatma Gandhi, John F. Kennedy, Peron, Sukarno, Tito, Castro, Mao Tze Tung, Nelson Mandela dan Ayatollah Khomeini (Sivamurugan 2005: 11).
7.1 PENUTUP
Setiap organisasi memerlukan pemimpin. Tanpa pemimpin sesebuah organisasi tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Ini kerana jatuh bangunnya sesebuah organisasi bergantung kepada pemimpin. Seseorang pemimpin dikatakan berjaya sekiranya dia berjaya menerapkan kepemimpinan yang tepat di dalam organisasinya. Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada sokongan dan sanjungan semua ahli. Untuk menjadi pemimpin yang berwibawa, seseorang bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga perlu bekerja untuk membina kuasa dalaman lebih dari kekuatan fizikal. Daya kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan untuk mengawal, mempengaruhi, memujuk, daya memaksa, mengesahkan dan daya membuat rujukan. Terdapat beberapa teori kepimpinan di dalam menguruskan organisasi antaranya ialah teori latar, teori kontigensi Fiedler, teori laluan matlamat, teori sumber kongnitif, teori Karismatik dan juga teori bidang daya penggerak. Teori latar mengambil kira kajian kepimpinan sebagai salah satu cabang psikologi sosial iaitu dengan melihat beberapa perspektif yang berbeza iaitu perspektif kelompok, perspektif konflik perspektif keperluan di pelajari dan perspektif penghakikian diri. Perspektif-perspektif ini pula boleh dilihat melalui tiga pendekatan iaitu pendekatan tret, pendekatan fungsi dan juga pendekatan tingkah laku. Teori kontigensi Fiedler pula mengandaikan tidak munasabah untuk menjangkakan bahawa seorang pemimpin boleh melakukan segala-galanya pada setiap masa lebih baik daripada orang lain. Teori kontigensi dapat dilihat malalui situasi kepimpinan, situasi ini merupakan hubungan yang dijalinkan diantara pemimpin dan juga pengikut serta dimensi kedua dalam membentuk situasi iaitu struktur tugas. Manakala teori laluan matlamat pula ialah peranan kepimpinan dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Teori ini menggariskan empat gaya kepimpinan yang boleh di manfaatkan untuk memotivasikan pekerja iaitu kepimpinan berorentasikan arahan, kepimpinan berorentasikan sokongan, kepimpinan berorentasikan penyertaan dan juga kepimpinan berorentasikan kepimpinan. Teori sumber kongnitif pula menyatakan bahawa kebolehan intelek pemimpin merupakan sumber utama kepada rancangan, keputusan dan strategi yang memandu tindakan kelompok, rancangan, keputusan dan strategi ini dikomunikasikan kepada kelompok dalam bentuk tingkah laku yang mengarah dan akan dilaksanakan jika kelompok menyokong pemimpin dan matlamat organisasi. Teori terakhir iaitu teori bidang daya penggerak dimana sebarang tingkah laku adalah akibat keseimbangan antara daya penggerak tolakan dan daya penggerak penghalang.

Sabtu, 2 Mei 2009

Pesanan untuk wanita

Pesanan Imam Al-Ghazali Buat Wanita

ENAM PESANAN KHUSUS UNTUK WANITA:

1. Jaga solat pada awal waktu. Kalau datang haid sekalipun jika tidak dapat solat, kena duduk atas tikar sembahyang supaya anak tidak lihat kita meninggalkan solat.

2. Hidupkan Bacaan Hadis Nabi saw di rumah dengan keluarga. Dianjur baca Hadis Fadhilat Amal. Ini amalan sahabiah zaman Nabi saw sehingga dari rumah kita keluar anak-anak yg soleh yg mendoakan kesejahteraan kedua ibubapa dunia/akhirat.

3. Baca Al Quran setiap hari walaupun hanya 8 ayat. Kalau tak mampu nak baca kerana terlalu sibuk, cukup dengan mencium Al Quran dan muhasabah 'Ya Allah, apa dosa saya hingga saya tak dapat nak baca kitab Mu pada hari ini."

4. Mendidik anak secara Islam. Mengajar anak-anak dari kecil bermula dengan doa-doa masnun.Iaitu doa seharian Nabi saw saperti doa tidur, bangun tidur, makan dan sebagainya.

5. Hidup sederhana dengan tidak membebankan suami. Setiap hari malaikat akan menghantar 500 jambangan bunga dari syurga untuk wanita yg hidup sederhana. Setiap titisan air masakan dan basuhan mereka akan menjadi zikir mohon keampunan kepada Allah swt atas wanita tersebut.

6. Galak suami untuk bermujahadah atas Agama Allah. Seorang isteri yg menggalakan suaminya untuk solat berjemaah di Masjid/Surau akan dapat pahala berjemaah suaminya termasuk solat dia sendiri.

Mudahan-mudahan ulasan ringkas ini bermanfaat. Muzakarahlah bersama teman wanita lain supaya hakikat amalan ini masuk dalam hati kita dan mudah nak amalkan...

Jumaat, 1 Mei 2009

kesan IT terhadap psikologi kanak-kanak

Pada hari ini kita melihat perkembangan teknologi di era ini terlalu pesat. Hal ini sedikit sebanyak turut melibatkan individu kecil iaitu kanak-kanak. Perkembangan teknologi yang boleh penulis istilahkan disini adalah meliputi teknologi seperti penggunaan internet, komputer, televisyen, telefon bimbit dan sebagainya. Boleh dikatakan sekarang ini ramai kanak-kanak sudah diajar untuk menggunakan internet. Malah penulis turut mengandaikan dalam setiap rumah internet bukan lagi suatu benda yang asing lagi.
Telefon bimbit juga pada hari ini bukan lagi seperti zaman awal-awal kemunculannya dimana sesiapa yang memilikinya dikira sebagai golongan yang kaya dan ternama. Namun pada hari ini kita boleh melihat di sekelilingi kita semua golongan mampu untuk menggunakan kemudahan demikian. Malah, penulis juga tidak terkejut jika dikhabarkan bahawa kanak-kanak yang berumur tiga, empat tahun tahu dan turut memiliki telefon bimbit sendiri. Hal demikian disebabkan faktor pengaruh dan faktor setiap orang berkuasa untuk memilikinya dan menggunakannya.
Namun penggunaan teknologi yang meluas terhadap kanak-kanak ini turut mendatangkan banyak implikasinya antaranya baik dan buruk. Implikasi yang wujud ini boleh menimbulkan banyak kesan-kesan lain yang akhirnya boleh memberi keuntungan bagi yang menggunakan dengan cara yang betul. Manakala bagi yang salah penggunaanya maka mereka akan memperolehi bahaya terhadap fizikal dan mental kanak-kanak. Di sini penulis membawakan dua implikasi yang timbul hasil dari penggunaan IT. Antaranya kesan positif dan negatif.

KESAN POSITIF

Berita Harian Online memetik kata- kata seorang Prof daripada UM yang membicarakan mengenai televisyen mampu pengaruhi minda yang mana Prof Chiam telah menyatakan bahawa kanak-kanak dan remaja menonton televisyen kerana mereka bosan memandangkan tidak ada pilihan lain yang menarik selain televisyen. Kesibukkan Ibu bapa yang tidak mempunyai waktu untuk mereka malah faktor bentuk hiburan lain yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi juga mendorong kanak- kanak ini memilih untuk menonton televisyen. Bagaimanapun, menurutnya lagi televisyen juga boleh menjadi satu alat berkesan dan berpengaruh untuk membentuk seseorang individu menjadi warga yang baik, mempunyai kesedaran sivik dan berperikemanusiaan. Tambahnya lagi sikap menyalahkan televisyen yang menjadi faktor penyebab keruntuhan akhlak dan sebagainya adalah tidak adil kerana televisyen hanya sekadar mengambil alih tugas ibu bapa yang sibuk untuk mendidik dan membimbing anak mereka dan kegagalan ibu bapa memainkan fungsi itu adalah faktor utama ke arah keruntuhan moral.
Chiam juga turut menegaskan bahawa televisyen bagaimanapun bukanlah faktor tunggal ke arah keruntuhan moral kerana persekitaran dan keadaan turut menyumbang kepada gejala negatif. Dalam kenyataannya juga beliau berpendapat satu cara untuk menangani masalah keruntuhan moral ialah setiap individu dan sektor perlu memainkan fungsi masing-masing dalam memikul tanggungjawab sosial. Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Jaafar Kamin juga tidak bersetuju bahawa rancangan televisyen membawa kesan yang negatif kerana beliau merasakan rancangan RTM yang menyelitkan pelbagai kisah membawa fungsi 4M iaitu memberitahu, mendidik, membujuk dan menghibur selain mendapatkan keuntungan bagi stesen komersil. Tambahnya lagi, hal ini bertepatan kerana RTM memaparkan mesej berkaitan isu moral dalam rancangan itu selain menerusi rancangan agama.
Antara isu moral dan agama yang dibincangkan ialah melalui siri seperti Kes Juvana, Bicara Hati, Ehwal Islam dan Forum Perdana Islam yang menerapkan nilai positif untuk dijadikan iktibar. Malah, rancangan Minda dan Global pula membicarakan topik yang membuka minda rakyat sementara rancangan import seperti Chicago Hope, ER dan Oprah Winfrey, walaupun tidak melambangkan budaya kita, turut mengandungi mesej positif sejagat.
Dalam artikel televisyen mampu pengaruhi minda juga menyelitkan kenyataan seorang Profesor dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Prof Ramli Mohamed yang berpendapat televisyen sememangnya mampu mengolah cita rasa penonton, tetapi bukan semua penonton boleh terpengaruh. Malah melalui menonton ini juga dapat menguji tahap kawalan seseorang terhadap emosinya sama ada ia mampu atau tidak. Hal ini disebabkan mereka bukan saja memiliki pemikiran tersendiri malah mekanisme untuk mempertahankan diri daripada dipengaruhi media. Beliau menyifatkan penonton juga lebih matang daripada segi pendedahan dan tanggapan menyebabkan mereka dapat membezakan yang mana berkualiti dan sebaliknya.
Selain itu, IT juga mempercepatkan seseorang pelajar untuk menguasai sesuatu pembelajaran. Ghazali Othman mengemukakan mengenai kajian yang telah dijalankan oleh Wan Roslina, Fazilawati dan Ismail bagi melaporkan mengenai kajian perbandingan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P & P) dengan berbantuan komputer (PBK) dengan P & P secara tradisional untuk salah satu topik Kimia Tingkatan 4, iaitu konsep Mol. Kajian ini telah dijalankan ke atas 26 orang pelajar yang mendapat markah yang rendah dalam ujian konsep Mol. Dua kumpulan telah dibentuk dan setiap kumpulan hanya didedahkan dengan satu teknik P & P. Data-data yang diperloehi telah dianalisis dengan menggunakan ujian-t sampel bebas. Keputusan yang diperoleh menunjukkan terdapat perbezaan skor min yang signifikan antara kedua-dua kumpulan yang dikaji dimana pembelajaran melalui P & P dengan berbantuan komputer.

KESAN NEGATIF

IT merupakan satu teknologi yang canggih yang telah dicipta pada hari ini, malah tidak dapat disangkal lagi bahawa setiap isi rumah hari ini sudah terbuka dan maju dengan mempunyai barangan- barangan seperti televisyen, komputer persendirian, internet malah mampu juga memiliki telefon bimbit sendiri. Di bawah penulis akan membawakan implikasi negatif tentang bahayanya IT ini terutamanya terhadap emosi kanak-kanak jika IT ini disalah guna.
Melalui kajian yang telah dilakukan oleh Pegawai di Persatuan Pengguna Pulau Pinang dalam buku keluaran CAP iaitu kesan televisyen terhadap perkembangan anak-anak anda menyatakan bahawa menonton televisyen boleh menjadikan kanak-kanak kurang cerdik kerana televisyen mampu membunuh IQ, membekukan otak, menyekat kreativiti, menghalang dari berfikir secara mendalam, mencuri masa, menganggu tidur, merampas waktu bermain dan banyak keburukan lagi. Malah dalam beberapa kajian yang lain mendapati menonton lebih berbahaya dan berpotensi merosakkan otak kanak-kanak yang sedang membesar.
Siti Fatimah membawakan mengenai iklan jenama minuman antarabangsa yang mengetengahkan tiga diva terkenal dengan berpakaian dan aksi yang menjolok mata yang telah dihentikan disebabkan Iklan tersebut dan iklan-iklan lain seumpamanya adalah sebahagian daripada kesan media global terhadap masyarakat. Tanggapan syarikat yang mengiklankan barangan tersebut bahawa iklan yang menonjolkan budaya tertentu sesuai untuk ditonton oleh seluruh dunia. Hal ini amat tidak brtepatan dengan budaya timur yang nyata sekali amat bertentangan sama sekali.
Dalam buku yang dikeluarkan oleh CAP juga mengemukakan mengenai satu kajian di sebuah Universiti Chicago yang di laporkan dalam journal of Comparative Neurology, tiga tahun pertama kehidupan kanak-kanak merupakan waktu penting bagi perkembangan otak kerana ketika inilah pelbagai bahagian otak menjalani proses "pendawaian". Pendawaian otak ini merujuk kepada perkembangan hubungan antara pelbagai sinaps sel otak selepas lahir. Sinaps adalah talian telefon yang membolehkan sel otak berkomunikasi. Trillion terbentuk sewaktu usia dua tahun pertama dan dipercayai dihasilkan dengan berlebihan untuk menjamin kadarnya bagi mencukupi dalam membentuk rangkaian saraf bagi penglihatan, pertuturan, pemikiran, emosi dan kemampuan mental lain. Ketika usia ini kanak-kanak tidak sesuai didedahkan dengan televisyen kerana mereka masih mentah dalam aktiviti untuk mengawal emosi sendiri.
Noor Azam menyatakan Arab Saudi mengharamkan permainan video dan kad Pokemon kerana ia dikatakan mempunyai unsur Yahudi iaitu bintang enam segi, yang dapat kita kaitkan dengan lambang Israel. Apa yang diharamkan ialah permainan Pokemon dan bukan rancangan animasinya. Rancangan televisyen dan filem Pokemon itu hanya iklan - yang hendak dijual sebenarnya ialah barang sampingan termasuk permainan video dan kad yang diharamkan oleh Arab Saudi itu. Lama sebelum kebimbangan tentang Pokemon ini, masyarakat Islam pernah juga `takut' kepada anak patung Barbie yang dikatakan memberi pandangan hidup negatif kepada kanak-kanak. Lama selepas kanak-kanak ini dewasa, kajian psikologi menunjukkan mereka masih mahu menjadi seperti Barbie dan mencari kekasih seperti Ken. Pengaruh yang uat untuk menjadi seperti patung barbie, pokemon dan sebagainya yng mereka minati akhirnya akan menjejaskan tumbesaran kanak- kanak terbabit.
Selain mendatangkan kesan terhadap perkembangan otak televisyen juga boleh menjejaskan dan melambatkan pertuturan. Sebagaimana kajian yang telah dilakukan oleh Dr Sally Ward selama 10 tahun ke atas bayi dan kanak-kanak. Beliau menyatakan televisyen menjadi faktor yang penting dalam melambatkan perkembangan pertuturan dalam seseorang daripada lima orang yang didapati mengalami masalah ini. Kajian itu mendapati bunyi bising dari televisyen boleh mempengaruhi emosi kanak-kanak dengan menghalang kanak-kanak daripada belajar bertutur seawal yang sepatutnya. Malah, mereka lebih gemar mendengar rancangan televisen itu besuara daripada diri sendiri.
Dalam buku keluaran CAP juga turut menjelaskan lagi bahawa salah satu elemen berfikir yang penting ialah mengekstrapolasi apa yang diketahui dan cuba memikirkan bagaimana untuk menyesuaikannya dalam situasi baru. Hal demikian hanyalah diperlukan di sekolah tetapi bukan untuk televisyen. Kanak-kanak yang aktif akan menjadi tidak aktif ketika menonton televisyen kerana itulah yang dilakukan oleh medium tersebut. Ketika menonton kanak-kanak tidak dibenarkan berfikir. Hal demikian akan mendorong kanak-kanak untuk tidak mahu berfikir dan tidak mahu belajar akhirnya mereka akan gagal dalam hidup.
Kate Moody turut menjelaskan bahawa televisyen merupakan penghalang di dalam bukunya Growing Up On Television. Beliau menyatakan bahawa gambar yang tertera di kaca televisyen bertukar lima atau enam saat, sama ada dengan mengubah sudut kamera atau memaparkan babak baru. Keadaan demikian menurut beberapa penyelidik merupakan satu kejutan perminit dan apabila masa semakin singkat otak boleh berubah sehingga menjejaskan pendapat yang berterusan.
Selain kesan-kesan negatif yang disebutkan televisyen turut menjadikan kanak-kanak kurang kreatif, gagal memberi tumpuan dan tidur terganggu, . Hal demikian disebabkan televisyen memperuntukkan terlalu sedikit ruang untuk kanak-kanak berfikir sekaligus membantutkan daya pemikiran kanak-kanak. Malah, kanak-kanak yang gemar menonton televisyen menghadapi sedikit masalah dalam pembelajaran dan menghadapi kesukaran untuk mendengar dan memberi tumpuan dalam tempoh yang lama berbanding rakan mereka yang tidak menonton televisyen.Tempoh kurang tumpuan itu disebabkan rentak program televisyen yang menetapkan seseorang kanak-kanak akan melihat satu imej selama tiga saat, satu imej lagi selama tujuh saat manakala satu imej lagi selama lima saat dan begitulah seterusnya.
Pertukaran imej yang berlaku ini akan merangsang kanak-kanak menjadi seperti yang demikian. Emosi kanak-kanak yang terganggu juga turut akan mengganggu tidur kanak-kanak. Sebagaimana kajian yang telah dilakukan di klinik Pediatrik mendapati kanak-kanak yang suka menonton televisyen lebih cenderung enggan masuk tidur, sukar untuk melelapkan mata ataupun mereka lebih kerap terjaga. Kurang tidur kanak-kanak boleh mendatangkan kesan yang buruk terhadap pemikiran dan emosi kanak-kanak seperti sukar untuk memberi tumpuan dan fikiran sentiasa serabut. Malah, mereka juga terdedah untuk ponteng dan tidak bersemangat untuk belajar.
Rentak televisyen yang berbentuk kegila-gilaan di samping dengan bunyi dan imej yang saling bertukar boleh menjejaskan sistem saraf sesetengah kanak-kanak sehingga menyebabkan Gangguan Hiperaktiviti Kurang Tumpuan (ADHD) yang sebelum ini dikenali sebagai Gangguan Kurang Tumpuan(ADD) yang diperhatikan melalui kurang memberi tumpuan yang berterusan, hiperaktiviti dan tingkahlaku yang impulsive atau gabungan tiga perlakuan ini. Terdapat kajian yang mencukupi untuk menyarankan tindakan melarang kanak-kanak di bawah usia lima tahun daripada menonton terlalu banyak rancangan televisyen boleh mengurangkan peluangnya mengembangkan ADD.
Menurut Healy dalam buku keluaran CAP kanak-kanak yang terlalu banyak menonton televisyen boleh menurunkan prestasi akademik terutamanya dalam keupayaan membaca. Membaca memerlukan kedalaman atau pemerosesan tetapi 'fikiran dua minit' kanak-kanak daripada menonton terlalu banyak televisyen dengan mudah menjadikannya kurang sabar dengan kegiatan yang memerlukan pembacaan. Menonton televisyen adalah komunikasi sehala di mana kanak-kanak akan menjadi pasif dan tidak dibenarkan berfikir dan boleh membekukan otak.
Sebagaimana yang dikatakan juga oleh Dr Jerre Levy, Bio-Psikologis di Universiti Chicago dan pakar dalam perkembangan Hemisfera otak menyatakan apabila kanak-kanak menonton televisyen, mereka tidak akan memperuntukkan masa membaca. Apabila seseorang kanak-kanak membaca novel, dia harus mewujudkan sendiri seluruh scenario, dia harus mewujudkan imej mengenai siapakah orang tersebut, bagaimana emosinya dan apakah nada suaranya, bagaimanakah kelihatan persekitannya, apakah perasaan mereka mengenai persekitaran tersebut. Senario yang dicipta sendiri adalah penting dan televisyen tidak akan meninggalkan ruang untuk proses kreatif berlaku. Otak di reka bagi memenuhi cabaran-cabaran kognitif. Di mana tidak seperti otot: jika anda tidak membuat latihan otot akan lemah. Jika tidak melatih otak anda, otak juga akan lemah."
Kesan lain yang turut timbul akibat daripada kerap menonton televiyen adalah melemahkan kemahiran berbahasa. Menurut Healy, ciri visual televisyen menyekat perkembangan bahagian sebelah kiri otak yang penting untuk kemahiran pembelajaran bahasa. Dalam satu persidangan terapis percakapan di London mendedahkan bahawa televisyen membataskan dan menghadkan keupayaan kanak-kanak bertutur dan memahami Bahasa Inggeris. Kemahiran bahasa boleh dirangsang dengan baik melalui pembacaan dan penyertaan dua hala yang aktif dalam perbualan dan aktiviti bermain bukannya dengan menonton televisyen. Hal ini, telah dipersetujui oleh seorang pakar terapi dengan menyatakan "seorang daripada lima kanak-kanak di bawah umur lima tahun menderita masalah bahasa kerana kebanyakkan ibu bapa menggunakan televisyen sebagai pengasuh kanak-kanak."
Selain itu, kanak-kanak yang kerap menonton televisyen seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat pada tahun 1994 menyatakan bahawa kanak-kanak ini tidak cekap dalam menghitung dalam matematik. Kajian lain mendapati pelajar gred 6 dan 12 di California yang banyak menonton televisyen mendapat markah yang rendah dalam ujian pencapaian matematik (serta membaca dan menulis) berbanding dengan pelajar yang kurang menonton atau tidak mempunyai televisyen. Kesan negatif lain melalui menonton televisyen ini juga boleh melemahkan daya berfikir kerana menonton televisyen secara berlebihan juga boleh membawa kepada banyak masalah lain seperti fizikal, psikologi dan sosial.
Sebagaimana kenyatan yang di buat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang terdapat beberapa bantahan mengenai televisyen. Antaranya pendorong hiperaktiviti kerana terdapat bukti-bukti yang semakin ketara bahawa pergerakkan pantas imej dan bunyi dari televisyen merupakan punca utama berlakunya hiperaktiviti. Tenaga fizikal yang diwujudkan oleh imej tetapi tidak digunakan, disimpan dalam badan kanak-kanak. Oleh itu apabila televisyen ditutup tenaga yang tersimpan itu akan muncul melalui aktiviti yang terlampau aktif. Sebagaimana yang telah dikemukakan oleh Jerry Mander dalam bukunya Four Arguments for Elimination of Television "saya melihat berulang kali ia berlaku ke atas kanak-kanak. Mereka duduk diam semasa menonton. Kemudian mereka bertukar menjadi terlampau aktif, cepat marah atau meragam dan kelihatan kecewa".
Malah kanak- kanak ini lebih pasif apabila berbaring di atas katil kerana purata metabolisme badan adalah 14.5% lebih rendah apabila menonton televisyen daripada berbaring di atas tempat tidur sepertimana kajian yang telah dikeluarkan oleh Universiti Negeri Memphis. Dr George Gerbner Dekan Sekolah Komunikasi Annenburg di Amerika menyatakan "Hidup dengan televisyen bermakna membesar dalam dunia kira-kira 22,000 iklan komersial setahun, di mana 5,000 daripadanya untuk produk makanan, lebih separuh daripadanya adalah untuk gula-gula dan snek berkhasiat rendah".
Televisyen juga boleh mewujudkan hubungan yang buruk diantara kanak-kanak dan anggota keluarga terutamanya ibu bapa. Kanak-kanak yang menghabiskan banyak masa di depan televisyen menyebabkan mereka kekurangan untuk bersama keluarga serta berinteraksi sesama mereka. Malah mereka juga tidak pandai bergaul dalam masyarakat disebabkan mereka tidak bergaul dengan rakan sebaya yang lain. Kajian yang dimuatkan juga dalam buku CAP ini juga mendapati kanak-kanak yang kurang menonton televisyen lebih cenderung untuk aktif dan minat serta terlibat dalam banyak kegiatan lain seperti bersukan dan berkawan dengan kanak-kanak yang lain. Kajian juga mendapati kanak-kanak yang kerap menghabiskan masa di depan televisyen menjadi kurang sabar, kurang selesa dan kurang berupaya menghargai konsep kepuasan yang lambat dinikmati.
Mengikut satu hipotesis, jika seorang kanak-kanak yang belum bersekolah menonton televisyen tiga jam sehari apabila menjangkau usia 18 tahun ia akan menghabiskan banyak masa untuk menonton televisyen berbanding masa yang dihabiskan di sekolah. Malah kanak-kanak akan lebih mementingkan televisyen daripada anggota keluarga, kawan-kawan dan sebagainya. Pengaruh emosi yang kuat mendorongnya untuk menonton televisyen lebih daripada aktiviti lain.
Selain kesan- kesan yang dijelaskan di atas penulis juga akan membawakan kesan negatif yang lain yang turut lahir daripada sikap yang demikian terutamanya terhadap kesihatan mental, hubungan sesama insan, dari sudut perubahan sosial dan lain- lain. Chiam menyatakan sikap-sikap negatif seperti salah laku, rogol, buli, serangan, pelacuran remaja dan peras ugut adalah antara sikap yang dipelajari daripada televisyen. Malah beliau menambah lagi bahawa siri-siri seperti detektif, peguam dan orang tahanan yang lari dari penjara, meninggalkan kesan ke atas remaja dan kanak-kanak, khususnya kepada mereka yang mengalami masalah psikologi. Menurutnya lagi, kini didapati ramai penduduk negara ini khususnya di Lembah Klang yang memiliki lebih daripada dua peti televisyen di rumah mereka dan ini membolehkan kanak-kanak menonton televisyen tanpa dikawal ibu bapa.
Menurut David Sohn yang merupakan Pengerusi Language Arts di M.L. King Jr. Laboratory School, Evanston, Illinois, USA dalam buku keluaran CAP menyatakan kanak-kanak yang menonton televisyen antara lima hingga enam jam sehari, didapati mereka berada dalam kumpulan jadi mereka akan gagal untuk berinteraksi sesama sendiri. Pengawalan emosi yang tidak yakin akan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk berdiam diri sekaligus mengasingkan diri dari dunia luar. Mereka juga merasa takut antara satu sama lain serta menunjukkan kegelisahan dan tidak selesa bersama kawan-kawan.Kanak-kanak ini lebih gemar untuk melihat tetapi mereka tidak mahu jadi teman berbual, mereka mahu melihat tetapi tetapi tidak mahu bercakap dan mereka mahu melihat tetapi tidak mahu diajukan pelbagai soalan atau memilih untuk melakukan sesuatu. Oleh itu, mereka akan membesar menjadi seorang yang kelu untuk berkata-kata.
The Power of Television: A Critical Appraisal yang disampaikan oleh Conrad Lodziak menyatakan televisyen boleh dikatakan mempunyai “kesan mengasingkan penonton secara fizikal”. Mengasingkan diri daripada kelompok masyarakat yang mencerminkan “penswastaan hubungan sosial” dan pemisahannya menjadi penghalang besar dalam melahirkan perubahan sosial yang progresif. Sepertimana Elliot menjelaskan bahawa “proses penswastaan ini mengenepikan hak masyarakat yang mungkin ingin memberi jawapan balas kerana ia tidak berpeluang kepada mereka untuk bersatu ketika itu, keperluan umum mungkin dikenal pasti dan segala tuntutan boleh disuarakan.
Harry Skornia dalam bukunya Television and society yang dipetik oleh CAP menyatakan televisyen membawa kedudukan yang besar dalam kedudukan orang yang suka bermalas-malas. Mereka yang gemar membuang masa di depan televisyen mungkin dikagumi kerana ia lebih arif tentang orang yang terkenal dan produk di pasaran berbanding orang lain. Mereka menjadi “penonton contoh”. Adakah televisyen membentuk sebahagian besar golongan yang suka bermalas-malas padahal usaha-usaha produktif mereka boleh disalurkan kepada perkara yang lebih bermanfaat.
Tindakan ganas yang dipaparkan di kaca televisyen sering mendapat pujian dan kadangkala tidak dihukum. Adegan sebegini lebih mendorong kepada perbuatan menyokong adegan ganas. Kanak-kanak lebih cenderung meniru dan memandang tinggi watak-watak yang menggunakan keganasan sebagai suatu yang menarik. Tindakan ganas di televisyen sering dianggap suatu perkara yang wajar dilakukan. Kanak-kanak kecil lebih cenderung mecederakan rakan sebaya dan bukan menolongnya selepas menonoton siri kartun yang memaparkan adegan ganas yang wajar. Penonton yang melihat persamaan antara diri mereka dengan tindakan dan perasaan mereka dan tindakan ganas, tema atau suatu watak dalam filem, lebih cenderung mencontohi keganasan yang sama dalam kehidupan sebenar. Ini terutamanya benar di kalangan kanak-kanak. Pendedahan yang berlebihan kepada keganasan media boleh menghasilkan penumpulan psikologi maklum balas emosi yang normal kepada persekitaran yang ganas. Ia juga boleh menyebabkan kurang respons kepada keganasan dalam kehidupan sebenar.
Keadaan boleh menjadi kacau bilau sepertimana filem Robocop (1987) telah meragut seramai 32 orang manakala filem sambungannya itu pada tahun 1990 telah meragut seramai 82 orang. Dalam filem seram Silence Of The Limbs pengarah Johnthan Demme mencampuradukkan yang lama dengan yang baru memaparkan plot yang menakutkan dan memfilemkannya mengikut kebijaksanaan dan citarasa ala Hitchcock. Hakikatnya cerita seram ini memang terganggu dengan memaparkan adegan ganas sama ada di televisyen, pawagam mahupun melalui pembacaan.
Dalam semua budaya pop (seperti dalam kebanyakkan masyarakat) wanita menjadi mangsa pilihan. Sepertimana dialog Arnold Schwarzenegger kepada isterinya sebelum ia menghapuskan isterinya dalam filem Total Recall. Penonton gemarkan adegan seperti itu yang mana si isteri mendapat apa yang sepatutnya. Sama seperti watak Laura Palmer ratu dalam Twin Peaks yang sebenarnya memang ditonjolkan sebagai seorang wanita yang berkelakuan tidak senonoh, mendapat apa yang sepatutnya. Pelbagai bentuk pemusuhan terhadap kaum wanita dipaparkan dalam budaya popular masa kini.
Dalam Berita Harian Online juga menyatakan bahawa BEVERLY Hills 90212, Power Rangers dan Ultraman merupakan siri televisyen yang sedikit sebanyak mempengaruhi minda remaja dan kanak-kanak negara ini. Ramai berpendapat cerita itu berunsur ganas, bengis dan mempamerkan gaya hidup yang kurang elok. Ini belum lagi mengambil kira filem yang sering ditayangkan di televisyen mengenai perilaku negatif manusia seperti penyalahgunaan dadah, merompak, membunuh, rogol, buang anak, masalah juvana dan sebagainya. Namun, persoalannya kini, adakah apa yang dipaparkan mempengaruhi penonton secara negatif dan menjurus ke arah keruntuhan moral?.
Siri-siri kartun dan cerita-cerita banyak memaparkan adegan-adegan ganas seperti pembunuhan dan aksi lasak yang lain. Cerita kartun sebagai contonhnya membawa adegan yang kelakar pada dasarnya namun jika di amati dengan mendalam setiap gerak geri yang di tayangkan mungkin akan menjadi ikutan kepada kanak-kanak tersebut. Cerita di mana waktu seseorang itu di bunuh dan akhirnya akan kembali hidup mendorong kanak-kanak untuk mencuba. Hal demikian mungkin sedikit sebanyak mendorong emosinya supaya mencuba. Antara cerita-cerita yang banyak mendorong kanak-kanak untuk mencuba adalah seperti dalam filem Die Hard 2 (1990) berjaya memaparkan “kehebatan” mereka iaitu daripada sejumlah 18 yang terkorban dalam filem asal kepada 264 mangsa (ini termasuk nahas kapal terbang yang mengorbankan 200 nyawa sekaligus).
Dalam artikel Jalan Hadapi Dilema Teknologi menyatakan kemajuan teknologi yang dicapai manusia zaman ini memang sangat mengagumkan. Tetapi sekali gus juga membingungkan. Malah membimbangkan. Pada peringkat dunia sejagat kita bimbang (dan gerun!) dengan kemajuan yang dicapai manusia di bidang teknologi senjata. Dan pada peringkat yang lebih mikro di samping merasa sangat selesa dengan kemajuan teknologi komunikasi kita juga merasa sangat resah dengan kesan-kesan sampingannya yang mengancam nilai-nilai kemanusiaan. Komputer peribadi, terutama yang mempunyai kemudahan internet, umpamanya, adalah antara alat teknologi komunikasi yang selama ini sering disebut-sebut sebagai sangat berguna untuk pelbagai keperluan seperti untuk menerima, mengirim dan merakamkan maklumat. Tetapi dalam pada itu kita juga merasa resah kerana alat tersebut juga telah menjadi satu saluran bahan-bahan lucah dan juga telah disalahgunakan untuk tujuan-tujuan maksiat dan kemudahan perjudian.
Dan lebih merunsingkan ialah bahan-bahan lucah itu ada kalanya terpancar di layar komputer secara automatik sebaik sahaja kita membuka komputer. Ertinya bahan-bahan itu ``dipaksakan'' kepada kita walaupun kita tidak bermaksud untuk melihatnya terpancar di layar komputer. Didorong oleh projek koridor raya multimedia Negara, sekolah-sekolah di seluruh negara mula membeli komputer dan menghubungkannya kepada internet dalam usaha memburu teknologi. Di beberapa buah taman didikan kanak-kanak prasekolah turut diberi peluang menggunakan komputer untuk mempelajari asas-asas pendidikan sekolah. Bahkan beberapa buah pasar raya menjual komputer kanak-kanak yang mengajar matematik dan bahasa. Dan sekarang setiap rumah di seluruh negara digalakkan memasang sebuah komputer. Komputer adalah alat pemikiran yang tercanggih yang direka. Dengan menggunakan komputer, kanak-kanak tidak perlu berfikir. Apa yang mereka perlu lakukan adalah belajar untuk melayari perisian dengan bertindak balas kepada skrin dalam beberapa cara.
Menurut pakar-pakar pendidikan, banyak perisian pendidikan untuk kanak-kanak adalah dengan cara menghafal. Hal demikian memudahkan kanak-kanak untuk mengambil jalan pintas untuk berjaya. Malah, mereka akan beranggapan untuk berjaya mereka hanya pelu untuk menghafal tanpa berusaha. Sesetengah perisian menghalang kanak-kanak daripada berfikir jauh melebihi pilihan yang boleh diberi, hingga akhinya melemahkan daya imaginasi dan perasaan ingin menguasai. Kreativiti dan imaginasi adalah faktor-faktor penting dalam mengembangkan daya intelektual dan menyelesaikan masalah rumit dalam setiap bidang akademik.
Kepantasan dan kemudahan menggunakan komputer menjadikan semakin ramai kanak-kanak semakin kurang tolerans terhadap kekecewaan (atau kurang sabar). Mereka akan menjadi kanak-kanak yang tidak boleh mengawal kekecewaan walaupun hanya menghadapi sedikit kegagalan. Malah mereka lebih suka meluahkan kemarahan secara agresif di samping suka mendesak, tidak sabar, tidak mengendahkan peraturan bahkan penuh kebencian terhadap rakan sebaya, tidak tegas dan mudah ‘terluka’. Kekecewaan adalah luahan perasaan yang datang daripada sikap agresif semula jadi dalam diri kita. Kegagalan untuk bertoleransi terhadapnya menyebabkan kita mempamerkan sikap agresif. Kanak-kanak yang dibesarkan untuk menikmati kepuasan segera akan menjadi berang apabila mereka terpaksa menunggu giliran, dipinggirkan atau tidak memperolehi apa yang dingini.
Di sebalik kemampuan komputer membentuk komuniti maya, secara fizikal komputer bersikap anti-sosial. Komputer mengajar kanak-kanak tidak ada salahnya mereka menyendiri, dan bukan salahnya mencari kawan untuk berbual atau bermain bersama. Pengguna komputer akan menjadi seorang yang berat mulut, kurang sedia menghadapi risiko yang membina kecekapan dan kreativiti.
Selain itu, dalam laman web Wikipedia pula menyatakan kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat (sama ada benar atau salah), idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet. Pada masa yang sama, kebebasan maklumat yang dijanjikan oleh dunia siber ini menimbulkan rasa gerun bagi pihak pentadbir sesetengah negara yang selama ini mahu mengongkong kebebasan bersuara, berfikir dan berpendapat penduduk mereka.
Selain televisyen, komputer dan internet, telefon bimbit juga merupakan satu teknologi yang semakin popular di kalangan kanak-kanak. Penggunaan telefon bimbit sebenarnya mampu menjejaskan kesihatan kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa harus berfikir dua kali sebelum memenuhi permintaan anak mereka untuk memiliki telefon bimbit kerana alat itu berpotensi menjejaskan kesihatan pada jangka masa panjang walaupun tiada pengesahan jitu mengenainya. Dalam artikel Telefon bimbit mampu jejas kesihatan kanak-kanak mengemukakan pendapat seorang Profesor biokejuruteraan, Universiti Washington, Henry Lai, menyatakan bahawa penyelidik telah membuat spekulasi sejak lebih 10 tahun bahawa pancaran radiasi elektromagnetik telefon bimbit mungkin menyebabkan kerosakan DNA selain tumor otak tidak berbahaya.
Pengerusi Badan Perlindungan Radiologi Kebangsaan Britain, Januari lalu menasihati ibu bapa tidak memberi telefon bimbit kepada kanak-kanak berusia lapan tahun atau ke bawah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap potensi ancaman radiasi alat telekomunikasi berkenaan. Lai menambah lagi, apabila menggunakan telefon bimbit, 70 peratus hingga 80 peratus tenaga yang dipancarkan daripada antena diserap oleh kepala. Beberapa kajian menunjukkan potensi kesan serapan jangka panjang radiasi pancaran telefon bimbit tetapi hanya segelintir saja kajian seperti itu menjuruskan kesan penggunaannya terhadap kanak-kanak. Keadaan begitu membimbangkan terhadap kesan kepada kanak-kanak sebab tengkorak orang muda adalah nipis dan otak yang sedang berkembang mungkin mudah menerima resapan radiasi.
Beliau berkata lagi, disebabkan tumor otak selalunya mengambil masa antara 30 tahun dan 40 tahun untuk berkembang, kanak-kanak yang menggunakan telefon bimbit bermula daripada usia remaja lagi akan mempunyai masa yang panjang untuk mendapat kesannya dan menggalakkan pengguna meletakkan antena jauh daripada kepala apabila menggunakannya. Kebanyakan kajian mengenai perkara ini sudah dihentikan di Amerika Syarikat kecuali beberapa kerja yang disokong oleh industri telefon bimbit, termasuk kajian bebas di Eropah. Dalam artikel Jalan Hadapi Dilema Teknologi menyatakan selain telefon bimbit selular analog dan perkhidmatan komunikasi peribadi digital (PCS) terdapat model terbaru telefon mudah alih dan dipercayai telah meningkatkan risiko penganiayaan terhadap kanak-kanak seperti pelacuran dan rogol. Alat baru itu dipanggil 3G yang dianggap sebagai generasi ketiga telefon bimbit yang jauh lebih maju daripada dua ``generasi'' sebelumnya.

Penggunaan teknologi bukanlah tidak boleh diguna pakai tetapi perlu diberi pengawasan yang sepatutnya. Ibu bapa yang perlu memainkan langkah yang bijak dalam mengawal kanak-kanak daripada mendapat kesan negatif seperti di atas. Penulis berpendapat pengawalan terhadap televisyen, komputer serta teknologi yang lain akan mengurangkan implikasi seperti itu berlaku. Langkah yang bijak bagi kanak-kanak mengisi masa mereka adalah dengan beriadah di taman-taman permainan ataupun dengan memberi peluang untuk bergaul dengan rakan-rakan yang lain dan bukanlah dengan cara memerap di dalam rumah untuk menonton televisyen ataupun bermain games dalam komputer.


Confucianisme



Confucianism diasaskan di China pada 2500 tahun lepas oleh seorang Guru falsafah. Confucianism merupakan sistem tingkahlaku beretika dan tanngungjawab sosial yang berkembang secara beransur-ansur dan telah menjadi sesuatu yang terbaik dalam tradisi pemikiran di timur. Confucianism merupakan asas sistem pemikiran dalam pengajaran Confucius yang telah lahir pada 551 B.C dan telah meninggal dunia pada 479 B.C ( Thomas & Dorothy Hoobler. 1993: 6-7). Kung Fu Tzu atau Kung Sang Guru atau lebih dikenali sebagai Confucius yang dianggap sebagai guru pertama walaupun sebelumnya telah ada guru namun demikian mereka merasakan bahawa beliau lebih tinggi martabatnya dari guru-guru yang lain ( Smith. 1985: 188).

Dalam dunia pada hari ini terdapat hampir 6 million orang yang menganut ideologi ini. secara majoritinya penganut ideologi ini menetap di Asia kerana ideologi ini sendiri berasal dari China. Sementara itu, masih ada penganut ideologi ini yang menetap di luar dari China seperti Eropah, Amerika Utara dan Selatan, dan beberapa Negara yang lain ( Thomas & Dorothy Hoobler. 1993: 6-7).

Confucianism mempunyai pengaruh yang sangat bagus dalam tamadun china kerana Confucianism datang dalam bentuk falsafah yang nilai-nilainya secara mendalam telah menjadi dasar kepada tahap undang-undang. Pegawai-pegawai atasan atau pegawai-pegawai kerajaan perlu untuk mempelajari Confucianism dalam meningkatkan kerjayanya dan tidak salah jika mereka menganuti dan mengamalkan agama-agama selain Confucianism dalam kehidupan peribadinya. (Thomas & Dorothy Hoobler. 1993: 14).

Selepas Confucius terdapat ahli falsafah Confucian yang terkenal iaitu Mencius (371-ca. 289 B.C.E) ataupun dalam bahasa Latin bernama Mengzi atau Master Meng. Confucianism datang ke Jepun melalui Korea dalam abad ke 4. Bermula dengan penghantaran delegasi ke Tanah Besar China untuk mengkaji budaya dengan tujuan untuk mempelajari dan juga meminjam dari sana (Hori Ichadô. 1982: 106). .Confucianism diperkenalkan di Jepun pada zaman feudalisme iaitu pada neo-Confucianism dalam dua bentuk kejayaan. Pengaruh dari latihan yang penting dari sintesis neo-Confucian yang telah dihuraikan oleh Chu Hsi (1130-1200) (Hori Ichadô. 1982: 108).

2.0 Adakah Confucianism itu agama?

Orang-orang Jepun cenderung dengan menganggap Confucianism adalah sesuatu yang berbeza dengan agama. Hal demikian disebabkan mereka merasakan Confucianism adalah satu bentuk pemikiran politik dan juga pendidikan beretika. Bahkan Confucianism juga dikatakan sebagai kuasa yang tertinggi ataupun Tuhan (Shang-ti) dan juga sebagai orang bijaksana yang suci (sheng). turut digunakan adalah idea “heaven” (t’ien) dan “the way” (tao) serta meraikan upacara pengabdian kepada Confucius dan displin ilmunya. (Hori Ichadô. 1982: 105). Selain itu, ahli-ahli sejarah juga berpendapat bahawa Confucianism bukanlah satu agama secara keseluruhannya. (Thomas & Dorothy Hoobler. 1993: 14-15).

Dalam buku yang ditulis oleh Smith (1985) menyatakan bahawa Confucianism jika dilihat menerusi perilaku dan tindakan moral memperlihatkan bahawa Confucianism adalah sesuatu yang berlainan dari agama-agama yang lain. Namun demikian Confucinism bukanlah ditolak dari di anggap sebagai agama kerana agama merupakan suatu cara hidup yang dirangkai sekitar perhatian terakhir manusia yang mana ideologi ini jelas sekali memenuhi syarat untuk diklasifikasikan sebagai agama. Manakala jika dilihat dari faktor kemunculannya, Confucianism mempunyai kaitan dengan agama dari segi pengawalan sosial dan akhlak masyarakat.

Thomas (1993) menyatakan bahawa terdapat kontroversi yang mendakwa Confucianism sesuai mengikut pandangan orang cina sebagai agama tetapi agama yang berbeza dari barat. Confucius melihat agama adalah sebagi satu bentuk pendidikan. Sesungguhnya dalam masyarakat cina satu perkataan seperti chiao digunakan untuk dua maksud iaitu religion dan education. Confucian berpendapat tujuan agama adalah untuk membentuk nilai moraldalam diri seseorang.

Confucianism bukan terdiri dari paderi, bukan mazhab dan juga bukan pegangan untuk pengikut mengkuinya. Malah Confucianism juga bukan pemujaan yang dilakukan secara terbuka tetapi ajaran yang dilakukan secara peribadi dengan Tuhan. Dalam Confucianism tidak terdapat perkatan yang mendedahkan tentang Tuhan ataupun kitab sucinya. Dalam Confucianism tidak terdapat struktur pertubuhan gereja sepertimana agama-agama yang lain. Tetapi tidak bermaksud Confucianism ini secara keseluruhannya tidak berkaitan dengan ruh (Thomas & Dorothy Hoobler. 1993: 14).

Confucianism di China adalah aspek yang tunggal yang mana Confucianism mungkin lebih ataupun kurang dari agama mengikut pandangan barat. Confucianism dalam kehidupan masyarakat cina menjadi aspek yang sangat penting dalam kewujudan orang cina (Thomas & Dorothy Hoobler. 1993: 15).

3.0 Ajaran dalam Confucianism

Dalam Confucianism ajaran yang ditekankan dalah berhubung isu akhlak dan sosial. Terdapat lima perhubungan yang dianggap sebagai the five classics iaitu pemerintah dan rakyat, ayah dan anak, suami dan isteri, kakak dan adik dan kawan dengan kawan. Confucianism menekankan kepada keharmonian dan keamanan dan juga “tao” atau “way” boleh dijumpai jika manusia mengetahui tentang hubungan dan menjalankan tanggungjawab mengikut tugas masing-masing ( F. H. M. Meade & A.W Zimmermann. : 44 ).

Dalam Confucianism kod moral yang menjadi asas adalah beretika, kemanusiaan dan kasih sayang. Pusat kepada Confucianism adalah idea di mana orang ramai perlu hidup dalam keadaan harmoni antara satu sama lain dan juga dengan alam semulajadi. Malah Confucius memperkenalkan sistem perhubungan antara perorangan dan pemerintahan yang baik ( Thomas & Dorothy Hoobler. 1993: 8).

Selain itu, dalam displin Confucianism adalah menuju untuk menjadi seorang yang berakhlak mulia. Dalam falsafah berakhlak mulia merangkumi lima kebaikkan iaitu berbudi bahasa, murah hati, takdir yang baik, kerajinan dan baik hati. Confucianism juga menekankan supaya sistem pemerintahan berjalan dengan cara yang mulia kerana pemerintahan yang baik akan membawa kegembiraan kepada rakyat (Thomas & Dorothy Hoobler. 1993: 8-9).

Confucianism adalah satu displin ilmu dalam mengawal tata tertib peribadi seseorang individu merangkumi pemerintah, rakyat, suami isteri, ayah dan anak serta kawan sesama kawan. Confucianism menekankan agar manusia berakhlak mulia dalam kehidupan namun Confucianism bukanlah seperti agama yang lain di mana seseorang itu boleh menganuti sebarang agama yang lain seperti kristian, budha dan pelbagai agama yang lain.




falsafah moden (Immanuel Kant)

Falsafah moden berbeza dengan falsafah-falsafah yang muncul sebelumnya seperti Greek, Roman dan falsafah abad pertengahan. Falsafah moden bermula apabila masyarakat intelektual Barat mengubah sikap dan cara mereka berfikir. Ini bermakna lahir unsur dan doktrin falsafah moden iaitu suatu unsur dan doktrin falsafah yang mempunyai unsur-unsur dan ciri-ciri baru dalam struktur pemikiran barat. Pada abad ke-18 telah muncul seorang tokoh falsafah Jerman iaitu Immanuel Kant yang telah membawa beberapa doktrin salah satunya yang berkaitan dengan moral dan etika. Bagi beliau, perbincangan mengenai moral dan etika bagi ahli falsafah moden yang lain amat ortodoks sekali. Dengan itu, beliau cuba membawa doktrin Unsur perintah tanpa syarat dalam falsafah etika beliau.


DEFINISI FALSAFAH MODEN

Perkataan falsafah diambil dari bahasa Inggeris 'Philosophy' yang berasal dari perkataan Greek iaitu gabungan perkataan ' philosopia'. 'Philo' bererti 'Love', 'Cinta' dan 'Sophia' bererti 'Wisdom', 'Hikmah'. Oleh itu, 'Philosophia', 'Philosophy' dan 'Falsafah' bererti 'Love of Wisdom', 'Cintakan Hikmah'.

Dalam sejarah Barat, di zaman pertengahan ( Middle Ages), falsafah digunakan sebagai alat untuk mendekatkan agama dengan falsafah atau akal dengan teks suci. Falsafah pada zaman ini, digunakan sebagai sandaran ilmiah untuk mengesahkan doktrin-doktrin agama. Tetapi hal ini ditolak oleh falsafah moden. Falsafah moden cuba mengasingkan antara falsafah dengan agama. Dengan sebab- sebab tersebut pengertiannya berbeza dan kita berhadapan dengan kesukaran untuk memberi pengertian yang lebih tepat ( Indriaty Ismail, 2003: 1).

LATAR BELAKANG IMMANUEL KANT.

Immanuel Kant dilahirkan pada 22 April 1724 di Konigsberg di Prusia Timur. Beliau di anggap seorang ahli falsafah Jerman yang teragung. Bapa beliau bekerja sebagai tukang pelana ( lapik tempat duduk belakang kuda) di Bandar tersebut, manakala ibunya adalah seorang warganegara Jerman. Kedua-dua ibu bapanya memegang atau pengikut aliran The Pietist ( pengikut yang taat kepada agama ) kepada gereja Lutheran. Akibat daripada ini ianya telah memberi kesan di dalam pendidikan Kant sendiri.

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Collegium Fridericianum dan melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi di University of Konigsberg. Beliau merupakan seorang pelajar teologi, dan telah bertemu dengan seorang guru (Martin Knutzen) falsafah di universiti tersebut pada waktu itu. Selepas tamat pengajian beliau dilantik menjadi tutor persendirian di Prussia Timur dan pada waktu ini beliau mencari peluang mempergiatkan pengkajian dan pembelajaran beliau.

Pada tahun 1755 beliau telah ditawar untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di universiti yang sama dan setelah berjaya menamatkan pengajian beliau telah dilantik menjadi seorang pensyarah. Kant juga telah mengajar beberapa subjek seperti fizik, matematik, logik, metafizik, falsafah moral dan juga geografi fizikal. Disamping mengajar beliau juga telah menghasilkan beberapa kajian sains tentang manusia, udara dan juga punca-punca berlakunya gempa bumi.

Beliau juga merupakan seorang yang sangat berdisiplin dan tidak suka membuang masa, malahan banyak menghabiskan masa dengan berkarya. Pembacaan beliau yang meluas membantu pemahaman beliau tentang falsafah logic dan metafizik. Beliau juga dikatakan terpengaruh dengan aliran "Phetisme" dari ibunya, tetapi beliau hidup dalam zaman "Skepticisme". Beliau juga dikatakan dibesarkan sebagai seorang yang alim, namun beliau juga bersikap Liberal dalam politik dan teologi. Dikatakan beliau telah meninggal ketika berusia lingkungan 80 tahun ( Edwards, 1967: 305).

4.0 KARYA-KARYA

Karya beliau yang termasyur antaranya ialah Observation on the Feeling of the Sublime and the beautiful ( 1764). Critique of Pure Reason ( 1781), Critique of Practical Reason (1788), Critique of Judgement ( 1790), Metaphysics of Morals ( 1797) dan Contest of the Faculties ( 1798) ( Ensiklopedia falsafah, 1967: 305).


DEFINISI CATEGORICAL IMPERATIVE

The Categorical Imperative merupakan salah satu teori yang diperbincangkan oleh beliau dalam falsafah ethics. Categorical Imperative adalah merupakan satu teori yang telah diperkenalkan dalam falsafah Kant yang membincangkan berkaitan dengan perbezaan perlakuan yang telah ditetapkan oleh moral daripada bentuk-bentuk arahan atau ketetapan lain. Contohnya jikalau anda menghendaki x, maka anda perlu melakukan y,( Jika saya mahu rasa yang memuaskan hati saya, saya mesti minum air lemon), (ini Kant namakan sebagai hypothetical imperative) difahami dan dilakukan mengikut suatu arahan moral dalam bentuk yang mutlak: "Anda tidak akan membunuh". Justeru adab sopan dan moral seseorang difahami sebagai satu bentuk tuntutan objektif, bergantung kepada kehendak dan kemahuan seseorang (Flew, 1979: 53) Kant berpendapat bahawa manusia yang dicipta mendapat kedudukan yang istimewa. Dia juga percaya yang moral manusia boleh sampai ke kemuncak melalui satu prinsip yang baik daripada semua tindakan dan tanggungjawab yang semulajadi.

Categorical imperative di sini bermaksud suatu bentuk arahan yang pada awalnya tidak dalam mutlak akan tetapi berubah menjadi sesuatu yang wajib mutlak apabila seseorang melakukannya mengikut tujuan tertentu. Imperative bermaksud membolehkan kita melakukan sesuatu secara mutlak dan tanpa apa-apa pengecualian. Secara umumnya categorical imperative di sini adalah suatu bentuk perintah yang memaksa kita melakukan sesuatu seperti “ lakukanlah sesuatu secara bermoral ”.

Di dalam categorical imperative terdapat dua perkara yang perlu diperhatikan disini iaitu yang pertama adalah imperative dan yang kedua setiap imperative itu mestilah bersifat categories. Menurut Kant terdapat dua jenis unsur perintah( imperative). Unsur imperative yang berdasarkan hipotesis yang mengatakan “ Kamu mesti buat begini dan begitu jika kamu mahu mencapai sesuatu matlamat”. Unsur imperative ini mengatakan sesuatu tindakan tertentu secara objektifnya (bebas) tanpa perlu kita memperhitungkan matlamat yang bakal dicapai. Categorical imperative ini menurut Kant adalah suatu yang bersifat sintetik dan a priori, cirinya ini dirumuskan sebagai konsep hukum. Oleh itu, apa yang dapat kita fahami bahawa apabila kita melakukan sesuatu, lakukan dengan mengikut petunjuk, tujuan atau niat tertentu supaya pada waktu yang sama kita bertekad bahawa ia akan menjadi satu hukum (Law). Tindakan yang kita lakukan adalah bermula dengan niat dan dikawal oleh kita sendiri. Oleh itu kita harus bertanggungjawab secara bermoral atas perlakuan yang telah kita lakukan ( Russel, 1946: 683).

Kant mengatakan ia tidak berpuas hati dengan falsafah moral pada hari ini kerana dia percaya falsafah moral tidak memenuhi level hipotesis imperative, contohnya: Sebab atau akibat kebiasaan boleh dibayangkan dengan pembunuhan adalah salah, kerana pembunuhan itu tidak baik tetapi, ini tidak berkaitan dengan seseorang. Kenapa Pembunuhan itu tidak baik? Kant mengemukakan alasan hipotesis system moral yang tidak percaya kepada moral action atau menganggap sebagai asas untuk moral judgments kerana Imperative adalah asas yang terlalu bergantung kepada sikap bertimbang rasa secara subjektif ( berdasarkan penilaian diri sendiri) ( Ensiklopedia falsafah, 1967: 317).


THE LAW OF CATEGORICAL IMPERATIVE MENURUT IMMANUEL KANT.

Di dalam konsep ini terdapat tiga bentuk formula atau prinsip yang telah dikemukakan oleh Kant iaitu:

Konsep kewajipan.

Kant mengatakan bahawa suatu kedudukan moral yang dianggap sebagai benar adalah tidak terikat dengan apa-apa keadaan tertentu. Sebagai contoh, seseorang tidak boleh dianggap bertindak secara bermoral dengan tindakan memberi arahan seperti “ Salah bagi anda untuk membunuh, tetapi tidak salah kalau saya melakukannya”, hal ini kerana bentuk arahan (imperative) ini adalah berbentuk hipotesis. Oleh itu, suatu arahan mestilah mempunyai nilai universal dan setiap moral itu boleh digunakan oleh setiap orang.

Dalam konsep tanggungjawab ini terdapat dua bahagian iaitu perfect duty dan imperfect duty. Menurut kant Perfect duty adalah tidak membuat sesuatu dengan mengikut maxim ( pepatah, moto ) sebagai satu keputusan yang bertentangan secara logiknya, apabila kita cuba untuk mensejagatnya. Contohnya, “salah mencuri wang kerana jika semua orang berbuat demikian, tidak ada lagi wang yang tinggal untuk digunakan” bentuk yang menjadi sejagat disini ialah maka tiada lagi wang yang tinggal untuk digunakan. Dengan cara yang sama kita boleh menunjukkan bahawa kecurian dan pembunuhan tidak baik bagi menjadi perfect duty. Oleh itu, kita membuat kesimpulan bahawa untuk menjadi perfect duty jangan sekali-kali melakukan perbuatan mencuri, membunuh dan sebagainya yang dianggap tidak baik.

Manakala imperfect duty juga masih tergolong dalam moral. Imperfect duty adalah satu tanggungjawab untuk melakukan sesuatu perkara hanya dengan maxim untuk kita sejagatkan. Contohnya seseorang itu tidak boleh memberi bantuan kepada yang lain kecuali ianya memberi sesuatu faedah kepada seseorang itu (http://ms. wikipedia.org/wiki//categorical, 31 Julai 2006).

Sebab dan Matlamat (Kewajipan).

Setiap tindakan rasional dinilai melalui prinsip dan juga matlamatnya. Kebanyakan matlamat bergantung kepada kemahuan dan kehendak seseorang dan penilaiannya masih berbentuk hipotesis dan andaian, dan matlamat yang ingin dilihat dalam bentuk objektif ianya mestilah dalam bentuk categorical. Kant menyatakan bahawa seseorang itu mempunyai kecerdasan, bijak, kekuasaan, kekayaan, dan kehormatan, berani, tabah hati dan sifat-sifat lain memang baik dan di ingini. Walaupun begitu, sifat-sifat ini tidak boleh dianggap baik tanpa kepada syarat.

Tumpuan diberi dan diletak atas niat, tujuan dan motif seseorang, dan bukan atas apa yang dilakukannya. Sesuatu tindakan akan mempunyai nilai moral apabila dilakukan dengan kerelaan hati jika tindakannya ialah satu tanggungjawab moral yang diakui. Jika tindakan yang dilakukan itu semata-mata untuk kepentingan diri sendiri, ini dianggap tidak betul dari segi moral.

6.3 Kewajipan : Autonomi untuk tekad baik atau kehendak (The Autonomous Will.

Menurut Kant autonomous will tidak akan menjadi subjek kepada kehendak tertentu, ianya hanya akan menjadi subjek kepada hukum-hukum yang mana telah dibentuk untuk dirinya sendiri. Oleh yang demikian Kant telah memberikan suatu fahaman kepada Hipotethical Kingdom of Ends, di mana didalam persepsi ini beliau mencadangkan setiap ahli masyarakat perlu menganggap diri mereka seperti ahli dan juga ketua. Kant menjelaskan lagi kita hanya melakukan sesuatu yang mana boleh mengharmonikan perlakuan kita dengan Kingdom of ends. Menurutnya lagi, kita mempunyai perfect duty bukannya ingin melakukan sesuatu mengikut maxim yang hanya mencipta kepada suatu hubungan tabie yang keadaannya mustahil dan sukar difahami apabila kita cuba menerapkan nilai kesejagatan padanya. Kita juga mempunyai imperfect duty yang mana kita tidak melakukan sesuatu mengikut maxim yang mana menjurus kepada suatu tahap yang tidak stabil dan tidak kita ingini di dalam setiap hubungan tadi ( http://ms.wikipedia.org/wiki/categorical, 31 Julai 2006).


FUNGSI THE LAW OF CATEGORICAL IMPERATIVE DI DALAM PEMIKIRAN.

Menurut Kant, kepentingan mengikut peraturan moral bukan hanya dalam bentuk hipotesis malahan dalam bentuk yang mutlak. Konsep categorical imperative dicipta adalah untuk memberi kefahaman kepada pentingnya berkelakuan secara moral bagi mencapai kebahagiaan sejagat, dan apabila kesejagatan menjalankan tanggungjawab mengikut peraturan moral ini dapat dicapai, maka kebahagiaan dan keharmonian hidup akan dapat dicapai.

Apabila kita membincangkan mengenai fungsi prinsip ini, kita dapat melihat kepada tujuan, pegangan dan matlamat yang telah dicapai oleh Kant. Sepertimana yang telah kita ketahui, Kant adalah seorang yang dikatakn alim dalam pegangan kristian dan percaya kepada kewujudan dan kebesaran Tuhan. Banyak karya-karya beliau yang membincangkan persoalan ini, tetapi beliau agak sedikit berbeza dengan tokoh-tokoh falsafah yang lain dalam membincangkannya. Disini kita dapat tahu bahawa beliau telah membincangkan untuk percaya kepada Tuhan mestilah seseorang itu benar-benar memahami dan mematuhi peraturan moral yang telah di tetapkan. Kita mesti tahu bahawa setiap perlakuan kita dikawal dan diperhatikan oleh Tuhan.

Fungsi Law of Categorical Imperative, iaitu membincangkan bentuk perlakuan moral yang memenuhi kehendak yang penting bagi menjamin semua manusia yang mempunyai akal fikiran agar bertindak mengikut batasan yang sepatutnya, supaya setiap kebaikan yang dinilai sesuai dengan tahap kebaikkannya, begitu juga sebaliknya. Kant juga telah membuktikan konsep Tuhan dengan membawa idea barunya iaitu sekiranya undang-undang moral yang dipenuhi dengan baik dan penuh rasa tanggungjawab bakal membawa kefahaman kita kepada konsep kewujudan Tuhan.


8.0 RUMUSAN DAN PENILAIAN.

Apa yang dapat disimpulkan melalui idea Kant ini adalah tentang moral yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat pada waktu itu tentang konsep Tuhan yang wujud dan bukan sebagai suatu perkara yang menjadi ragu-ragu kepada manusia. Beliau lebih menekankan konsep etika dan moral, yang mana bagi beliau setiap orang bertanggungjawab dengan satu tanggungjawab tertentu. Seseorang itu harus melaksanakan sesuatu tanggungjawab dengan cara yang betul supaya seseorang itu tidak dipersalahkan atas apa yang telah beliau lakukan. Setiap kesalahan yang dilakukan itu akan dinilai oleh Tuhan (God) yang maha kuasa.

Dari segi penilaian pula, apa yang dapat dikatakan disini konsep yang telah diasaskan oleh beliau ini adalah satu bentuk yang baik untuk disampaikan kepada umum supaya semua orang mempunyai moral yang terbaik dan melaksanakan atau bertindak secara bermoral. Kalau dilihat sebelum ini tokoh-tokoh falsafah sebelumnya yang tidak menyetujui dengan konsep ini kerana mereka berpendapat bahawa konsep ini adalah sukar untuk seseorang itu melakukan sesuatu secara sempurna dengan hanya berdasarkan pengalaman, logic dan rasional semata-mata.

Sebagai rumusan yang dapat kita lihat bahawa Kant adalah merupakan seorang ahli falsafah Jerman yang mementingkan etika dan moral, yang mana beliau banyak menolak doktrin-doktrin yang berbeza dengan doktrinnya. Beliau mengatakan tanggungjawab itu penting untuk mencapai sesuatu matlamat yang diingini dan sikap baik dan buruk itu bergantung pada tindakan itu sendiri. Kebaikan moral wujud apabila seseorang itu bertindak sepenuhnya atas dasar tanggungjawab dan bukannya niat semata-mata. Beliau begitu mengambil berat tentang moral manusia yang mana sesuatu tindakan yang dilakukan mestilah mencapai matlamat seseorang. Apabila sesuatu yang diingini tidak tercapai maka, tanggungjawab moral itu tidak sempurna.

RUJUKAN

Antony Flew. 1979. A Dictionary of Philosophy. London: Pan Books Ltd.
Ahmad Sunawari Long. 2006. Sejarah Falsafah. Bangi: Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Bertrant Russel. .1993. Sejarah Falsafah Barat.. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Http.www. Wikipedia, the free encyclopedia. htm. 31 Julai 2006.
Indriaty Ismail. 2003. Falsafah Agama. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohammed Yusoff Hussain. 2002. Kepada Sejarah Falsafah Barat Moden. Shah
Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.
Philip Stratton-lake. 2000. Kant, Duty And Moral Worth. London and New York:
Routledge.
Paul Edwards. 1967. The Encyclopedia of philosophy. London: Collier Macmillan
Publishers