Jumaat, 1 Mei 2009

falsafah moden (Immanuel Kant)

Falsafah moden berbeza dengan falsafah-falsafah yang muncul sebelumnya seperti Greek, Roman dan falsafah abad pertengahan. Falsafah moden bermula apabila masyarakat intelektual Barat mengubah sikap dan cara mereka berfikir. Ini bermakna lahir unsur dan doktrin falsafah moden iaitu suatu unsur dan doktrin falsafah yang mempunyai unsur-unsur dan ciri-ciri baru dalam struktur pemikiran barat. Pada abad ke-18 telah muncul seorang tokoh falsafah Jerman iaitu Immanuel Kant yang telah membawa beberapa doktrin salah satunya yang berkaitan dengan moral dan etika. Bagi beliau, perbincangan mengenai moral dan etika bagi ahli falsafah moden yang lain amat ortodoks sekali. Dengan itu, beliau cuba membawa doktrin Unsur perintah tanpa syarat dalam falsafah etika beliau.


DEFINISI FALSAFAH MODEN

Perkataan falsafah diambil dari bahasa Inggeris 'Philosophy' yang berasal dari perkataan Greek iaitu gabungan perkataan ' philosopia'. 'Philo' bererti 'Love', 'Cinta' dan 'Sophia' bererti 'Wisdom', 'Hikmah'. Oleh itu, 'Philosophia', 'Philosophy' dan 'Falsafah' bererti 'Love of Wisdom', 'Cintakan Hikmah'.

Dalam sejarah Barat, di zaman pertengahan ( Middle Ages), falsafah digunakan sebagai alat untuk mendekatkan agama dengan falsafah atau akal dengan teks suci. Falsafah pada zaman ini, digunakan sebagai sandaran ilmiah untuk mengesahkan doktrin-doktrin agama. Tetapi hal ini ditolak oleh falsafah moden. Falsafah moden cuba mengasingkan antara falsafah dengan agama. Dengan sebab- sebab tersebut pengertiannya berbeza dan kita berhadapan dengan kesukaran untuk memberi pengertian yang lebih tepat ( Indriaty Ismail, 2003: 1).

LATAR BELAKANG IMMANUEL KANT.

Immanuel Kant dilahirkan pada 22 April 1724 di Konigsberg di Prusia Timur. Beliau di anggap seorang ahli falsafah Jerman yang teragung. Bapa beliau bekerja sebagai tukang pelana ( lapik tempat duduk belakang kuda) di Bandar tersebut, manakala ibunya adalah seorang warganegara Jerman. Kedua-dua ibu bapanya memegang atau pengikut aliran The Pietist ( pengikut yang taat kepada agama ) kepada gereja Lutheran. Akibat daripada ini ianya telah memberi kesan di dalam pendidikan Kant sendiri.

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Collegium Fridericianum dan melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi di University of Konigsberg. Beliau merupakan seorang pelajar teologi, dan telah bertemu dengan seorang guru (Martin Knutzen) falsafah di universiti tersebut pada waktu itu. Selepas tamat pengajian beliau dilantik menjadi tutor persendirian di Prussia Timur dan pada waktu ini beliau mencari peluang mempergiatkan pengkajian dan pembelajaran beliau.

Pada tahun 1755 beliau telah ditawar untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di universiti yang sama dan setelah berjaya menamatkan pengajian beliau telah dilantik menjadi seorang pensyarah. Kant juga telah mengajar beberapa subjek seperti fizik, matematik, logik, metafizik, falsafah moral dan juga geografi fizikal. Disamping mengajar beliau juga telah menghasilkan beberapa kajian sains tentang manusia, udara dan juga punca-punca berlakunya gempa bumi.

Beliau juga merupakan seorang yang sangat berdisiplin dan tidak suka membuang masa, malahan banyak menghabiskan masa dengan berkarya. Pembacaan beliau yang meluas membantu pemahaman beliau tentang falsafah logic dan metafizik. Beliau juga dikatakan terpengaruh dengan aliran "Phetisme" dari ibunya, tetapi beliau hidup dalam zaman "Skepticisme". Beliau juga dikatakan dibesarkan sebagai seorang yang alim, namun beliau juga bersikap Liberal dalam politik dan teologi. Dikatakan beliau telah meninggal ketika berusia lingkungan 80 tahun ( Edwards, 1967: 305).

4.0 KARYA-KARYA

Karya beliau yang termasyur antaranya ialah Observation on the Feeling of the Sublime and the beautiful ( 1764). Critique of Pure Reason ( 1781), Critique of Practical Reason (1788), Critique of Judgement ( 1790), Metaphysics of Morals ( 1797) dan Contest of the Faculties ( 1798) ( Ensiklopedia falsafah, 1967: 305).


DEFINISI CATEGORICAL IMPERATIVE

The Categorical Imperative merupakan salah satu teori yang diperbincangkan oleh beliau dalam falsafah ethics. Categorical Imperative adalah merupakan satu teori yang telah diperkenalkan dalam falsafah Kant yang membincangkan berkaitan dengan perbezaan perlakuan yang telah ditetapkan oleh moral daripada bentuk-bentuk arahan atau ketetapan lain. Contohnya jikalau anda menghendaki x, maka anda perlu melakukan y,( Jika saya mahu rasa yang memuaskan hati saya, saya mesti minum air lemon), (ini Kant namakan sebagai hypothetical imperative) difahami dan dilakukan mengikut suatu arahan moral dalam bentuk yang mutlak: "Anda tidak akan membunuh". Justeru adab sopan dan moral seseorang difahami sebagai satu bentuk tuntutan objektif, bergantung kepada kehendak dan kemahuan seseorang (Flew, 1979: 53) Kant berpendapat bahawa manusia yang dicipta mendapat kedudukan yang istimewa. Dia juga percaya yang moral manusia boleh sampai ke kemuncak melalui satu prinsip yang baik daripada semua tindakan dan tanggungjawab yang semulajadi.

Categorical imperative di sini bermaksud suatu bentuk arahan yang pada awalnya tidak dalam mutlak akan tetapi berubah menjadi sesuatu yang wajib mutlak apabila seseorang melakukannya mengikut tujuan tertentu. Imperative bermaksud membolehkan kita melakukan sesuatu secara mutlak dan tanpa apa-apa pengecualian. Secara umumnya categorical imperative di sini adalah suatu bentuk perintah yang memaksa kita melakukan sesuatu seperti “ lakukanlah sesuatu secara bermoral ”.

Di dalam categorical imperative terdapat dua perkara yang perlu diperhatikan disini iaitu yang pertama adalah imperative dan yang kedua setiap imperative itu mestilah bersifat categories. Menurut Kant terdapat dua jenis unsur perintah( imperative). Unsur imperative yang berdasarkan hipotesis yang mengatakan “ Kamu mesti buat begini dan begitu jika kamu mahu mencapai sesuatu matlamat”. Unsur imperative ini mengatakan sesuatu tindakan tertentu secara objektifnya (bebas) tanpa perlu kita memperhitungkan matlamat yang bakal dicapai. Categorical imperative ini menurut Kant adalah suatu yang bersifat sintetik dan a priori, cirinya ini dirumuskan sebagai konsep hukum. Oleh itu, apa yang dapat kita fahami bahawa apabila kita melakukan sesuatu, lakukan dengan mengikut petunjuk, tujuan atau niat tertentu supaya pada waktu yang sama kita bertekad bahawa ia akan menjadi satu hukum (Law). Tindakan yang kita lakukan adalah bermula dengan niat dan dikawal oleh kita sendiri. Oleh itu kita harus bertanggungjawab secara bermoral atas perlakuan yang telah kita lakukan ( Russel, 1946: 683).

Kant mengatakan ia tidak berpuas hati dengan falsafah moral pada hari ini kerana dia percaya falsafah moral tidak memenuhi level hipotesis imperative, contohnya: Sebab atau akibat kebiasaan boleh dibayangkan dengan pembunuhan adalah salah, kerana pembunuhan itu tidak baik tetapi, ini tidak berkaitan dengan seseorang. Kenapa Pembunuhan itu tidak baik? Kant mengemukakan alasan hipotesis system moral yang tidak percaya kepada moral action atau menganggap sebagai asas untuk moral judgments kerana Imperative adalah asas yang terlalu bergantung kepada sikap bertimbang rasa secara subjektif ( berdasarkan penilaian diri sendiri) ( Ensiklopedia falsafah, 1967: 317).


THE LAW OF CATEGORICAL IMPERATIVE MENURUT IMMANUEL KANT.

Di dalam konsep ini terdapat tiga bentuk formula atau prinsip yang telah dikemukakan oleh Kant iaitu:

Konsep kewajipan.

Kant mengatakan bahawa suatu kedudukan moral yang dianggap sebagai benar adalah tidak terikat dengan apa-apa keadaan tertentu. Sebagai contoh, seseorang tidak boleh dianggap bertindak secara bermoral dengan tindakan memberi arahan seperti “ Salah bagi anda untuk membunuh, tetapi tidak salah kalau saya melakukannya”, hal ini kerana bentuk arahan (imperative) ini adalah berbentuk hipotesis. Oleh itu, suatu arahan mestilah mempunyai nilai universal dan setiap moral itu boleh digunakan oleh setiap orang.

Dalam konsep tanggungjawab ini terdapat dua bahagian iaitu perfect duty dan imperfect duty. Menurut kant Perfect duty adalah tidak membuat sesuatu dengan mengikut maxim ( pepatah, moto ) sebagai satu keputusan yang bertentangan secara logiknya, apabila kita cuba untuk mensejagatnya. Contohnya, “salah mencuri wang kerana jika semua orang berbuat demikian, tidak ada lagi wang yang tinggal untuk digunakan” bentuk yang menjadi sejagat disini ialah maka tiada lagi wang yang tinggal untuk digunakan. Dengan cara yang sama kita boleh menunjukkan bahawa kecurian dan pembunuhan tidak baik bagi menjadi perfect duty. Oleh itu, kita membuat kesimpulan bahawa untuk menjadi perfect duty jangan sekali-kali melakukan perbuatan mencuri, membunuh dan sebagainya yang dianggap tidak baik.

Manakala imperfect duty juga masih tergolong dalam moral. Imperfect duty adalah satu tanggungjawab untuk melakukan sesuatu perkara hanya dengan maxim untuk kita sejagatkan. Contohnya seseorang itu tidak boleh memberi bantuan kepada yang lain kecuali ianya memberi sesuatu faedah kepada seseorang itu (http://ms. wikipedia.org/wiki//categorical, 31 Julai 2006).

Sebab dan Matlamat (Kewajipan).

Setiap tindakan rasional dinilai melalui prinsip dan juga matlamatnya. Kebanyakan matlamat bergantung kepada kemahuan dan kehendak seseorang dan penilaiannya masih berbentuk hipotesis dan andaian, dan matlamat yang ingin dilihat dalam bentuk objektif ianya mestilah dalam bentuk categorical. Kant menyatakan bahawa seseorang itu mempunyai kecerdasan, bijak, kekuasaan, kekayaan, dan kehormatan, berani, tabah hati dan sifat-sifat lain memang baik dan di ingini. Walaupun begitu, sifat-sifat ini tidak boleh dianggap baik tanpa kepada syarat.

Tumpuan diberi dan diletak atas niat, tujuan dan motif seseorang, dan bukan atas apa yang dilakukannya. Sesuatu tindakan akan mempunyai nilai moral apabila dilakukan dengan kerelaan hati jika tindakannya ialah satu tanggungjawab moral yang diakui. Jika tindakan yang dilakukan itu semata-mata untuk kepentingan diri sendiri, ini dianggap tidak betul dari segi moral.

6.3 Kewajipan : Autonomi untuk tekad baik atau kehendak (The Autonomous Will.

Menurut Kant autonomous will tidak akan menjadi subjek kepada kehendak tertentu, ianya hanya akan menjadi subjek kepada hukum-hukum yang mana telah dibentuk untuk dirinya sendiri. Oleh yang demikian Kant telah memberikan suatu fahaman kepada Hipotethical Kingdom of Ends, di mana didalam persepsi ini beliau mencadangkan setiap ahli masyarakat perlu menganggap diri mereka seperti ahli dan juga ketua. Kant menjelaskan lagi kita hanya melakukan sesuatu yang mana boleh mengharmonikan perlakuan kita dengan Kingdom of ends. Menurutnya lagi, kita mempunyai perfect duty bukannya ingin melakukan sesuatu mengikut maxim yang hanya mencipta kepada suatu hubungan tabie yang keadaannya mustahil dan sukar difahami apabila kita cuba menerapkan nilai kesejagatan padanya. Kita juga mempunyai imperfect duty yang mana kita tidak melakukan sesuatu mengikut maxim yang mana menjurus kepada suatu tahap yang tidak stabil dan tidak kita ingini di dalam setiap hubungan tadi ( http://ms.wikipedia.org/wiki/categorical, 31 Julai 2006).


FUNGSI THE LAW OF CATEGORICAL IMPERATIVE DI DALAM PEMIKIRAN.

Menurut Kant, kepentingan mengikut peraturan moral bukan hanya dalam bentuk hipotesis malahan dalam bentuk yang mutlak. Konsep categorical imperative dicipta adalah untuk memberi kefahaman kepada pentingnya berkelakuan secara moral bagi mencapai kebahagiaan sejagat, dan apabila kesejagatan menjalankan tanggungjawab mengikut peraturan moral ini dapat dicapai, maka kebahagiaan dan keharmonian hidup akan dapat dicapai.

Apabila kita membincangkan mengenai fungsi prinsip ini, kita dapat melihat kepada tujuan, pegangan dan matlamat yang telah dicapai oleh Kant. Sepertimana yang telah kita ketahui, Kant adalah seorang yang dikatakn alim dalam pegangan kristian dan percaya kepada kewujudan dan kebesaran Tuhan. Banyak karya-karya beliau yang membincangkan persoalan ini, tetapi beliau agak sedikit berbeza dengan tokoh-tokoh falsafah yang lain dalam membincangkannya. Disini kita dapat tahu bahawa beliau telah membincangkan untuk percaya kepada Tuhan mestilah seseorang itu benar-benar memahami dan mematuhi peraturan moral yang telah di tetapkan. Kita mesti tahu bahawa setiap perlakuan kita dikawal dan diperhatikan oleh Tuhan.

Fungsi Law of Categorical Imperative, iaitu membincangkan bentuk perlakuan moral yang memenuhi kehendak yang penting bagi menjamin semua manusia yang mempunyai akal fikiran agar bertindak mengikut batasan yang sepatutnya, supaya setiap kebaikan yang dinilai sesuai dengan tahap kebaikkannya, begitu juga sebaliknya. Kant juga telah membuktikan konsep Tuhan dengan membawa idea barunya iaitu sekiranya undang-undang moral yang dipenuhi dengan baik dan penuh rasa tanggungjawab bakal membawa kefahaman kita kepada konsep kewujudan Tuhan.


8.0 RUMUSAN DAN PENILAIAN.

Apa yang dapat disimpulkan melalui idea Kant ini adalah tentang moral yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat pada waktu itu tentang konsep Tuhan yang wujud dan bukan sebagai suatu perkara yang menjadi ragu-ragu kepada manusia. Beliau lebih menekankan konsep etika dan moral, yang mana bagi beliau setiap orang bertanggungjawab dengan satu tanggungjawab tertentu. Seseorang itu harus melaksanakan sesuatu tanggungjawab dengan cara yang betul supaya seseorang itu tidak dipersalahkan atas apa yang telah beliau lakukan. Setiap kesalahan yang dilakukan itu akan dinilai oleh Tuhan (God) yang maha kuasa.

Dari segi penilaian pula, apa yang dapat dikatakan disini konsep yang telah diasaskan oleh beliau ini adalah satu bentuk yang baik untuk disampaikan kepada umum supaya semua orang mempunyai moral yang terbaik dan melaksanakan atau bertindak secara bermoral. Kalau dilihat sebelum ini tokoh-tokoh falsafah sebelumnya yang tidak menyetujui dengan konsep ini kerana mereka berpendapat bahawa konsep ini adalah sukar untuk seseorang itu melakukan sesuatu secara sempurna dengan hanya berdasarkan pengalaman, logic dan rasional semata-mata.

Sebagai rumusan yang dapat kita lihat bahawa Kant adalah merupakan seorang ahli falsafah Jerman yang mementingkan etika dan moral, yang mana beliau banyak menolak doktrin-doktrin yang berbeza dengan doktrinnya. Beliau mengatakan tanggungjawab itu penting untuk mencapai sesuatu matlamat yang diingini dan sikap baik dan buruk itu bergantung pada tindakan itu sendiri. Kebaikan moral wujud apabila seseorang itu bertindak sepenuhnya atas dasar tanggungjawab dan bukannya niat semata-mata. Beliau begitu mengambil berat tentang moral manusia yang mana sesuatu tindakan yang dilakukan mestilah mencapai matlamat seseorang. Apabila sesuatu yang diingini tidak tercapai maka, tanggungjawab moral itu tidak sempurna.

RUJUKAN

Antony Flew. 1979. A Dictionary of Philosophy. London: Pan Books Ltd.
Ahmad Sunawari Long. 2006. Sejarah Falsafah. Bangi: Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Bertrant Russel. .1993. Sejarah Falsafah Barat.. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Http.www. Wikipedia, the free encyclopedia. htm. 31 Julai 2006.
Indriaty Ismail. 2003. Falsafah Agama. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohammed Yusoff Hussain. 2002. Kepada Sejarah Falsafah Barat Moden. Shah
Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.
Philip Stratton-lake. 2000. Kant, Duty And Moral Worth. London and New York:
Routledge.
Paul Edwards. 1967. The Encyclopedia of philosophy. London: Collier Macmillan
Publishers

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama